Images
  • typhoon
    Semua pertandingan tenis SEA Games 2019 pada Selasa (3 Dis) dibatalkan kerana cuaca buruk. (Gambar: AFP)

Taufan Kammuri: Acara tenis Sukan SEA dibatalkan

MANILA: Semua pertandingan tenis SEA Games 2019 pada Selasa (3 Dis) dibatalkan kerana cuaca buruk, demikian menurut Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

"Kerana cuaca buruk terus berlanjut, diputuskan untuk membatalkan seluruh pertandingan pada hari ini," kata PHISGOC dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

PHISGOC menyatakan acara-acara yang ditunda akan kembali diadakan pada Rabu (4 Dis) dengan urutan yang sama dengan Selasa (3 Dis).

Seperti diramalkan oleh agensi ramalan cuaca, Taufan Kammuri melanda bandar Metro Manila sejak awal pagi tadi, membawa hujan lebat berserta angin kencang yang dijangka berterusan hingga lewat malam dan boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Pembatalan pertandingan tenis menyusuli beberapa lagi acara lain yang dtunda, juga kerana faktor cuaca.

Semalam, PHISGOC membuat keputusan untuk menunda beberapa sukan seperti bola tampar pantai, kanu/kayak, Muay Thai, pencak silat, pentathlon dan luncur angin yang dijadualkan di sekitar Clark dan Subic pada hari ini, ke tarikh baru.

Bagaimanapun kebanyakan acara Sukan SEA ke-30 melibatkan tempat tertutup berjalan lancar setakat tengah hari ini.

Ketua Pegawai Operasi PHISGOC, Ramon Suzara berkata pegawai teknikal sudah mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah berkaitan taufan itu, termasuk keperluan meminda tempat pertandingan, tetapi menegaskan bahawa temasya itu tidak akan dilanjutkan melebihi tarikh penutupan pada 11 Disember ini.

Sekurang-kurang seorang terbunuh manakala ribuan rakyat di Filipina dipindahkan serta operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino digantung ketika Taufan Kammuri, yang merupakan taufan yang ke-20 melanda negara ini, semakin mendekati pulau utama, Luzon.

- BERNAMA/NA/na

Top