Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Tatsuma Yoshida lanjutkan kontrak selaku jurulatih Lions

Jurulatih Jepun Tatsuma Yoshida akan meneruskan khidmatnya sebagai ketua jurulatih pasukan negara Singapura sehingga Disember 2022 setelah menandatangani pelanjutan kontrak, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Jumaat (5 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Tatsuma Yoshida lanjutkan kontrak selaku jurulatih Lions

Jurulatih pasukan bola sepak negara S'pura Tatsuma Yoshida pada 8 Jun 2019. (Gambar: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 05 Feb 2021 09:24PM Dikemas Kini : 05 Feb 2021 09:32PM

SINGAPURA: Jurulatih Jepun Tatsuma Yoshida akan meneruskan khidmatnya sebagai ketua jurulatih pasukan negara Singapura sehingga Disember 2022 setelah menandatangani pelanjutan kontrak, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Jumaat (5 Feb).

Yoshida, 46 tahun akan memimpin pasukan Lions bagi edisi seterusnya Piala Suzuki AFF - dijadual berlangsung hujung tahun depan, serta baki kempen kelayakan Piala Dunia.

"Saya rasa sama seperti dua tahun lalu apabila saya mengambil alih jawatan ini - sangat bertenaga dengan daya motivasi yang sama untuk bekerja dengan para pemain, rakan kerja, peminat dan FAS," kata Yoshida, yang menyandang jawatan itu sejak Jun 2019.

Beliau menambah bahawa "2020 bukanlah tahun biasa", dengan kelayakan Piala Dunia ditunda kerana pandemik COVID-19. Lions juga tidak bermain dalam sebarang perlawanan antarabangsa.

"Saya kecewa dengan perkara itu - tetapi setelah berbincang secara mendalam dengan FAS dan juga keluarga saya, keputusan untuk meneruskan projek ini di Singapura mudah bagi saya kerana saya percaya i kita masih boleh melakukan lebih baik dan sedang dalam perjalanan untuk menjadi pasukan lebih hebat," katanya.

"Saya rasa sangat gembira untuk terus menjadi jurulatih pasukan kebangsaan, dan ini adalah pengalaman yang sangat penting dan menarik."

Yoshida memimpin pasukan negara dalam sembilan perlawanan - empat perlawanan persahabatan dan lima kelayakan Piala Dunia. Pasukan Lions menang tiga perlawanan, seri dalam dua dan kalah empat perlawanan.

Singapura, yang merupakan pasukan ranking terendah dalam kumpulan kelayakan Piala Dunia, kini di tempat ketiga dalam kumpulan lima pasukan dengan tujuh mata dari lima perlawanan, dua mata di belakang pendahulu Uzbekistan dan satu di belakang Arab Saudi.

Selama kempen mereka, pasukan itu mencatat kemenangan besar menentang Yaman dan Palestin.

"Kami gembira Tatsuma bersetuju untuk melanjutkan kontraknya dan terus memimpin Lions," kata presiden FAS Lim Kia Tong.

"Pasukan ini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang nyata dari segi gaya permainan dan kemajuan di bawah kendaliannya, yang telah memberi kepercayaan kepada semua orang bahawa kita dapat menjadi lebih kompetitif di pentas antarabangsa pada masa depan."

Kapten Lions, Hariss Harun juga akui kemajuan yang dicapai di bawah Yoshida.

"Pasukan ini senang bekerja di bawah didikan jurulatih Tatsuma sejak beliau mengambil alih tugas dan kemajuan yang telah kami kecapi jelas bagi semua orang. Para pemain memanfaatkan kaedah dan kepercayaannya dan semakin baik di bawah bimbingan beliau, "katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan