Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Syed Azmir kini bergelar jurulatih; galak pemain muda rebut peluang kembangkan bakat

“Kegagalan hanya rintangan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.”

Anggaran Waktu Membaca:
Syed Azmir kini bergelar jurulatih; galak pemain muda rebut peluang kembangkan bakat

Syed Azmir kini jurulatih di F17, membimbing anak muda generasi pelapis bola sepak S'pura. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Said Mahadi)

BERITAmediacorp: “Kegagalan hanya rintangan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.”

Prinsip ini dijadikan pedoman oleh Syed Azmir Syed Azman yang menyifatkan pengalamannya sepanjang 36 tahun ini bak “sudah jatuh bangkit semula”.

Seawal usia 18 tahun, beliau sudah mencapai cita-cita sejak kanak-kanak lagi untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional dan impian itu menjadi nyata apabila beliau mewakili Sembawang Rangers FC dalam Liga Singapura (S League).

Sungguhpun demikian, Azmir kemudian memutuskan untuk meninggalkan kerjayanya demi mencipta nama dalam bidang seni pula selepas berjaya menembusi industri hiburan tempatan setelah menduduki tempat kedua dalam peraduan Anugerah pada 2005. Insan berbakat ini bahkan ditawarkan peluang untuk menghasilkan album di Kuala Lumpur.

Namun selepas beberapa tahun kemudian, terkesan dengan pemergian pengurusnya Amin Husen, beliau memutuskan untuk pulang ke tanah air selepas kontrak bersama syarikat rakaman Wake The Baby berakhir.

Begitulah nasibnya ketika itu, ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Selepas memendam impian bermain bola sepak untuk menceburi bidang nyanyian yang bertahan hanya lima tahun, hakikatnya Azmir gagal mengembangkan kedua-dua minatnya itu. Bagaimanapun beliau tidak menyerah kalah.

“Saya tidak pernah kesal atas apa jua yang telah berlaku pada saya. Saya bersyukur apa yang terjadi. Ia telah membentuk peribadi saya,” luahnya kepada BERITAmediacorp baru-baru ini.

KEMBALI TURUN PADANG, TERUS ASAH BAKAT SEBAGAI JURULATIH

Selepas mempertaruhkan nasib di seberang tambak, bekas penyanyi itu turun semula ke padang bola tanah air. Kali ini, bukan sebagai pemain tetapi sebagai jurulatih.

Sepanjang sedekad lamanya, Azmir gigih menimba pengalaman - dari melatih para pelajar di Sekolah Menengah Coral, memimpin skuad bawah 15 tahun negara sehinggalah memikul peranan sebagai penolong jurulatih kelab profesional Geylang International FC.

Sejak tahun ini pula, jurulatih yang tidak putus-putus mengasah kemahirannya, mengorak langkah baru untuk menyandang tugas mencabar di sebuah akademi bola sepak sebagai Ketua Pembangunan Belia.

“Sebenarnya lagi mencabar kerana kita ada beratus-ratus pelajar di akademi. Dalam pasukan profesional, kita hanya fikirkan tentang 20 atau 25 pemain saja dan itu pun mereka sudah mantap.

“Di akademi, cabarannya adalah untuk terus memupuk minat mereka, tiap-tiap minggu. Malah, kita harus melatih mereka dari mula,” kata jurulatih Akademi F17 itu.

PELUANG BUAT SEMUA, JANGAN BIARKAN KEWANGAN JADI PENGHALANG

Sebagai jurulatih, Azmir berpegang teguh bahawa seseorang kanak-kanak itu tidak sepatutnya dibendung minatnya untuk bermain bola sepak disebabkan oleh faktor kewangan.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan inisiatif Akademi F17 melancarkan Skim Bantuan Kewangan Media360 Communications tahun ini untuk menyokong para pelajar rakyat Singapura daripada keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan kasar keluarga (GHI) sekitar $2,750 sebulan atau pendapatan per kapita keluarga (PCI) sekitar $690 sebulan.

“Ibu bapa kita dulu mahu dapat kerja pun susah. Mungkin ada yang baru memulakan kerjaya, jadi kita tidak mampu membiayai beberapa perkara," luah Azmir kepada BERITAmediacorp.

“Tapi ibu bapa sekarang mahu anak mereka meraih pengalaman-pengalaman seperti ini. Jadi, latihan-latihan di akademi memang sepatutnya dimampui orang ramai,” ujarnya sambil mengajak mereka yang berminat untuk berdaftar di https://f17.com.sg/f17-moe-fas.

Berbanding skim seumpamanya di akademi lain, bantuan kendalian Akademi F17 itu tidak hanya diberikan kepada pemain-pemain terbaik saja.

Malah, para pemain yang cemerlang dan layak mewakili akademi tersebut secara kompetitif boleh menikmati subsidi sehingga lebih S$3,000.

Dalam pada itu, bapa dua orang anak ini turut menggalak para pemain supaya memanfaatkan peluang-peluang yang tidak dapat dinikmati beliau sewaktu di bangku sekolah dahulu termasuk kesempatan berlatih bersama jurulatih luar negara.

“Waktu Azmir berusia 11 tahun dulu, ada Milo School. Hanya yang terbaik saja dapat masuk. Jadi kalau mahu masuk, harus berlatih bersungguh-sungguh.

“Budak-budak ini beruntung sebab ada banyak ‘exposure’. Ada banyak akademi seperti F17 yang boleh memberi mereka pengalaman yang diperlukan untuk mengasah bakat mereka,” katanya kepada BERITAmediacorp sambil merujuk kepada program Akademi F17 bersama Akademi Wolverhampton Wanderers di England.

Tambahnya lagi, setiap tahun, ia akan mengundang jurulatih-jurulatih daripada akademi ketiga terbaik dalam kalangan kelab Kategori 1 Liga Perdana England itu untuk menganjurkan Bengkel Pengalaman Elit Wolves di sini.

Jurulatih Akademi Elit Wolves, Leon Jackson bergambar dengan dua pemain cilik tempatan Akademi F17. (Gambar-gambar: F17 Academy)

“Inilah objektif akademi. Kita bukan di sini untuk mencapai kejayaan secara serta-merta tapi kejayaan kita adalah menerusi pengalaman-pengalaman sedemikian yang ditimba sehinggalah para pemain kita dapat mengecapi cita-cita mereka,” ujar bekas pemain skuad belia negara itu.

BOLA SEPAK ATAU DUNIA HIBURAN?

Merumuskan wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp sebelum sesi latihan bermula, Azmir berkongsi bahawa beliau masih lagi giat dalam industri hiburan dengan kadangkala diundang membuat persembahan di acara-acara amal. Malah beliau turut ditawarkan peluang berlakon dalam siri popular Mediacorp, Kin.

“Tak banyak orang boleh katakan dia beruntung dapat melakukan sesuatu yang diminati sebagai kerjanya," kata Azmir secara ringkas yang kini dapat bekerja dalam industri bola sepak dan juga industri hiburan.

"Tiada apa lagi yang Azmir mahukan,” dedah beliau lagi.

Meskipun harus mengorbankan masa rehatnya untuk sesi-sesi perfileman atau undangan menyanyi, beliau rela selagi mampu mengimbangi kedua-dua minatnya itu.

“Sejujurnya, buat masa ini, saya berpuas hati dengan apa yang dikecapi.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan