Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sukar untuk sasaran Goal 2034 berjaya jika tiada sokongan S'pura: FAS

Sasaran Goal 2034 "sukar" untuk berjaya jika ia tidak disokong oleh negara. Demikian menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyusuli komen yang dibuat oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kebudayaan, Masyakarat dan Belia (MCCY) Baey Yam Keng di Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Sukar untuk sasaran Goal 2034 berjaya jika tiada sokongan S'pura: FAS

Ikhsan Fandi meraikan tendangan gol di pusingan layak Piala Dunia Singapura menentang Uzbekistan. (Gambar fail: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 07 Mar 2020 02:17PM Dikemas Kini : 07 Mar 2020 02:18PM

SINGAPURA: Sasaran Goal 2034 "sukar" untuk berjaya jika ia tidak disokong oleh negara. Demikian menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyusuli komen yang dibuat oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kebudayaan, Masyakarat dan Belia (MCCY) Baey Yam Keng di Parlimen bahawa sasaran itu tidak ditetapkan oleh Pemerintah.

"Goal 2034 semestinya adalah aspirasi jangka panjang. FAS gembira untuk menerajuinya tetapi ia mestilah satu matlamat negara dan semua pihak-pihak berkepentingan. Ini memberi kita peluang terbaik untuk berjaya," menurut jawatankuasa eksekutif FAS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat Jumaat (6 Mac).

"Pada masa yang sama, adalah mengejutkan untuk mendengar Baey Yam Keng berkata di Parlimen bahawa Goal 2034 bukan matlamat Pemerintah dan itu hanya matlamat FAS. Itu bukan pemahaman kami.

"Kami perlu memperjelaskan hal ini dengan MCCY untuk menentukan sama ada ini mewakili kedudukan MCCY. Jika Goal 2034 bukan matlamat yang boleh disokong oleh negara, maka ia akan menjadi sangat sukar untuk berjaya. Kami akan berusaha membincangkannya dengan MCCY pada kesempatan paling awal."

FAS menyatakan demikian berikutan komen oleh Encik Baey di Parlimen pada Jumaat bahawa Goal 2034, rancangan untuk pasukan bola sepak kebangsaan Singapura layak ke Piala Dunia FIFA pada tahun 2034, adalah matlamat yang tidak ditetapkan oleh Pemerintah tetapi oleh FAS.

"Goal 2034 adalah matlamat yang ditetapkan oleh FAS, bukan matlamat yang ditetapkan oleh Pemerintah, oleh itu peranan Pemerintah adalah untuk menyokong NSA (Persatuan Sukan Kebangsaan) jika boleh," kata Encik Baey ketika menjawab soalan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MCCY semalam.

"Kami sudah meminta FAS untuk memberi taklimat tentang bagaimana mereka menyasarkan untuk mencapai matlamat itu. Kami mengadakan perbincangan dan kami sudah memberikan beberapa pendapat bahawa mereka mungkin mahu mengkaji rancangan jangka pertengahan dan panjang untuk belia bagi mencapai Goal 2034.

"Saya faham bahawa FAS sudah mengambil kira maklum balas itu dan sedang berbincang dengan pihak berkepentingan lain untuk mencapai visi ini."

Naib Presiden FAS, Encik Edwin Tong, berkata dalam temu bual dengan Straits Times yang diterbitkan pada Ogos tahun lalu bahawa kelayakan untuk Piala Dunia FIFA pada 2034 akan menjadi matlamat "realistik" untuk Singapura.

Ini bukan kali pertama Singapura menetapkan sasaran untuk bermain di kejohanan bola sepak tersebut.

Pada 1998, Singapura menyatakan ia menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia 2010. Perdana Menteri Goh Chok Tong pada ketika itu berkata inisiatif tersebut, yang digelar Goal 2010, adalah "berani dan bercita-cita tinggi".

Pasukan kebangsaan Singapura kini menduduki tangga ke-157 di dunia.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan