Images
  • netball team singapore
    Pasukan bola jaring S'pura di Sukan SEA 2019 (Gambar: Matthew Mohan)

Sukan SEA: Team S'pore alami 'masalah awal' di Filipina termasuk soal makanan, penginapan

MANILA: Para atlit dan pegawai Singapura berhadapan dengan "masalah awal" di Sukan SEA ke-30 di Filipina dan akan bekerjasama dengan penganjur tempatan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut, kata ketua delegasi pada Isnin (25 Nov).

Dalam satu kenyataan kepada media, chef de mission Singapura Juliana Seow berkata: "Para atlit dan pegawai kami menghadapi masalah awal, dan kami sedang bekerjasama dengan pihak penganjur tempatan untuk menyelesaikannya."

Beliau menambah bahawa adalah lumrah untuk mengalami beberapa isu pada permulaan sebuah temasya sukan utama.

"Apa yang lebih penting ialah bekerjasama dengan penganjur untuk menangani dan menyelesaikannya, supaya para atlit dan pegawai kita dapat bertanding dalam persekitaran yang kondusif," kata Cik Seow.

"Kami menghargai usaha dan layanan oleh para penganjur dan sukarelawan Filipina dalam menjaga kami dan melakukan yang terbaik sebagai tuan rumah, dan kami mengalu-alukan Sukan SEA 2019 yang mengujakan."

Kenyataan itu menyusuli satu mesyuarat yang diadakan oleh pihak penganjur dengan chef de mission negara-negara yang mengambil bahagian dalam temasya Sukan itu.

Beberapa isu yang dihadapi pasukan bola jaring dan pasukan bola sepak Team Singapore - yang tiba sebelum majlis pembukaan untuk pertandingan peringkat kumpulan mereka - termasuk makanan sejuk, kekurangan makanan serta kekurangan pilihan makanan halal di hotel mereka.

Cik Seow berkata situasi katering dan penginapan sudah beransur baik sejak Isnin lalu dan tidak ada "maklum balas buruk" daripada para atlit dan pegawai Singapura.

Pada Ahad, pihak penganjur memohon maaf selepas beberapa atlit yang sampai, ditinggalkan selama berjam-jam di lapangan terbang atau dihantar ke hotel yang salah, satu kesilapan logistik yang menerima kecaman hanya beberapa hari sebelum pertandingan bermula.

- CNA/TQ/tq

Top