Images
  • philippine arena
    Philippine Arena boleh menampung 55,000 penonton. (Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Sukan SEA 2019 dirasmikan gilang-gemilang; tuan rumah Filipina turut cipta sejarah

BULACAN: Edisi ke-30 Sukan SEA dibuka secara rasmi oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte dalam suasana gilang-gemilang di Philippine Arena malam tadi (30 November).

Dan buat julung-julung kalinya dalam sejarah penganjuran temasya sukan serantau selama 60 tahun itu, upacara perasmian Sukan SEA diadakan dalam kawasan tertutup. Lazimnya perasmian Sukan SEA diadakan dalam sebuah stadium seperti pada tahun 2015 di Singapura dan dua tahun kemudian di Kuala Lumpur.

Philippine Arena yang berupaya menampung sekitar 55,000 pengunjung juga merupakan arena berbumbung terbesar di dunia – seluas 99,200 meter persegi!

PERSEMBAHAN BERTERASKAN BUDAYA TEMPATAN

Sehebat lokasinya, upacara tahun ini turut memaparkan persembahan bertaraf dunia yang dibawakan oleh syarikat FiveCurrents yang pernah diberikan kepercayaan untuk menerbitkan upacara perasmian Sukan Olimpik 2012 di London dan Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada tahun lalu.

Antara artis tempatan yang menggemparkan pentas malam tadi termasuk juara X Factor Filipina musim pertama, KZ Tandingan dan ahli rap dari kumpulan terkenal Black Eyed Peas, Apl.d.Ap. Persembahan malam tadi turut menyerlahkan sukan sebagai sebahagian daripada budaya Filipina dan ini ditonjolkan menerusi pertunjukan sukan dan permainan tradisional negara itu.

Perarakan atlit ala Santacruzan. (Gambar: REUTERS/Eloisa Lopez)
Philippine Arena bergema dengan tepukan dan sorakan gemuruh para penonton apabila para atlit dari 11 negara muncul di atas pentas. Uniknya segmen perarakan atlit kali ini diadakan ala Santacruzan.

Tradisi Filipina ini turut menyaksikan para wanita yang memakai pakaian tradisional dibawa berarak dalam pesta tahunan mereka. Sebelas ratu cantik Filipina dipilih berarak untuk mewakili negara-negara peserta. Singapura diwakili Ratu Cantik Bumi 2014, Jamie Herell manakala tepukan paling gemuruh diberikan kepada Ratu Cantik Dunia 2015, Pia Wurtzbach yang mengiringi para atlit tuan rumah.

Para penonton kembali bersorak apabila sebuah skrin raksasa menunjukkan Encik Duterte berdiri sambil bertepuk tangan dan melambaikan tangannya mengikut irama muzik bagi memberi sokongan kepada para atlit negara itu. Presiden Duterte disertai oleh Sultan Brunei, Haji Hassanal Bolkiah yang turut menyaksikan persembahan gilang-gemilang selama sekitar 90 minit itu.

SEBILANGAN ATLIT TEAM S’PORE TIDAK BERPELUANG HADIRI UPACARA PERASMIAN

Samuel Kang dilantik mengibarkan bendera Singapura. (Gambar: REUTERS/Eloisa Lopez)

Memandangkan Sukan SEA kali ini diadakan di tiga lokasi yang berbeza iaitu Metro Manila, Subic dan Clark, sebilangan atlit yang bakal bertanding di lokasi yang jauh dari Bulacan dan akan bertanding pada keesokan harinya, mereka tidak dapat menghadiri upacara perasmian itu. Hanya sekitar 50 atlit dan pegawai Team Singapore termasuk para pemain sepak takraw, hoki ais, skuasy, pegawai rasmi dan pegawai perubatan yang dapat menghadiri upacara tersebut. Kontinjen Team Singapore dipimpin oleh Chef de Mission Juliana Seow dengan bendera negara dikibarkan oleh atlit sukan skuasy, Samuel Kang.

“Ia satu pengalaman yang menakjubkan untuk mengibarkan bendera negara bagi kontinjen Singapura. Saya rasa ia satu penghormatan buat diri saya apabila diberikan peluang ini dan ia bukan sahaja satu detik istimewa bagi saya sendiri bahkan juga semua penggiat sukan skuasy di Singapura. Saya tidak sabar untuk tiga acara yang akan saya sertai dan saya berharap akan dapat memenangi pingat dalam acara-acara itu. Saya amat menghargainya dan akan melakukan yang terbaik buat Singapura!” kata atlit berusia 28 tahun itu.

Sekitar 50 atlit dan pegawai Team Singapore menghadiri upacara gah malam itu. (Gambar: REUTERS/Eloisa Lopez)

JAUH TAPI ISTIMEWA

Kemuncak upacara malam tadi turut menyaksikan jaguh tinju negara itu, Manny Pacquiao menghulurkan obor Sukan SEA 2019 kepada juara tinju dunia wanita kedua Filipina, Nesthy Petecio, 27 tahun untuk sama-sama menyalakan kawah obor Sukan SEA ke-30.

Namun, ia berlangsung bukan di sekitar kawasan Philippine Arena tetapi kira-kira 90 km atau tiga jam perjalanan dari situ iaitu di New Clark City di mana kawah obor itu dibina. Detik itu diikuti pula dengan satu pertunjukan bunga api yang berwarna-warni di Clark dan satu lagi pertunjukan bunga api yang skalanya lebih kecil dalam kawasan tertutup di Philippine Arena yang menggemparkan ramai penonton di sana kerana ia tidak dijangkakan sama sekali. Meskipun kedua-dua acara itu berlangsung berpuluh-puluh batu jauhnya, semangat kesukanan dan perpaduan tetap dapat dirasakan di kedua-dua lokasi.

PERPADUAN YANG BERMAKNA
Ketika berucap di upacara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina, Peter Alan Cayetano mengingatkan seluruh rakyat Filipina bahawa detik itu menandakan satu peristiwa yang bersejarah buat negara itu dan mereka seharusnya berasa bangga.

Walaupun hanya diberikan tempoh selama 18 bulan untuk membuat persiapan, Filipina menurut beliau lagi, tetap mampu merealisasikan penganjuran temasya sukan berprestij itu.

Kali terakhir Filipina menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada tahun 2005.

Namun, detik yang membanggakan itu bukan sekadar untuk rakyat Filipina sahaja, malah buat seluruh rantau ini juga. Cukup terasa perpaduan dan semangat bersatu padu apabila sorakan dan tepukan gemuruh diberikan kepada para atlit dari semua negara terlibat.

Seiring dengan tema Sukan SEA kali ini, iaitu “Win As One”, Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina, Abraham Tolentino dalam ucapannya menegaskan bahawa Sukan SEA boleh membuktikan kepada seluruh dunia bagaimana sukan boleh menyatukan rantau ini meskipun rencam dari segi budaya dan agama.

#SEAGames2019 dan #30thSEAGAMES antara yang paling banyak digunakan pengguna.
Sukan SEA ke-30 ini turut menarik perhatian para netizen dari setiap pelusuk dunia apabila #SEAGames2019 dan #30thSEAGAMES mendahului carta Twitter sepanjang upacara perasmian temasya sukan serantau itu.

Sukan SEA ke-30 ini akan berlangsung sehingga 11 Disember.

- BERITAmediacorp/sm

Top