Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sukan Para ASEAN: 11 acara disahkan, 4 lagi dalam senarai menunggu

Olahraga, memanah, badminton, boccia, chess dan ‘goalball’ merupakan antara 11 sukan yang telah dipersetujui Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN ke-11 2021, yang dijadualkan 17-23 Disember di Hanoi, Vietnam.

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan Para ASEAN: 11 acara disahkan, 4 lagi dalam senarai menunggu

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 Feb 2021 01:51PM Dikemas Kini : 27 Feb 2021 01:54PM

KUALA LUMPUR: Olahraga, memanah, badminton, boccia, chess dan ‘goalball’ merupakan antara 11 sukan yang telah dipersetujui Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN ke-11 2021, yang dijadualkan 17-23 Disember di Hanoi, Vietnam.

Sukan lain yang dicadangkan tuan rumah Vietnam termasuklah judo, powerlifting, renang, ping pong dan tenis kerusi roda.

Presiden APSF Mejar Jeneral Osoth Bhavilai berkata, berikutan perbincangan dengan negara-negara ahli, jawatankuasa juga mencadangkan kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan Para ASEAN (VIEAPGOC) untuk memasukkan empat lagi sukan iaitu bola keranjang kerusi roda, bola sepak cerebral palsy (bola sepak CP), berbasikal dan bola tampar duduk, untuk temasya itu.

“Keputusan itu berikutan maklum balas daripada negara-negara ahli berdasarkan kepada dapatan akhir mengenai ‘penyataan minat’ (EOI) yang telah dilaporkan kepada jawatankuasa itu.

“Keempat sukan itu telah melepasi kriteria untuk pemilihan, di mana ditetapkan hanya sukan dengan sokongan daripada sekurang-kurangnya empat negara ketika pelaksanaan EOI, akan dipertimbangkan untuk dimasukan ke temasya itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat (26 Feb).

Keputusan itu dicapai selepas Jawatankuasa Penganjur APSF (BoG) melaksanakan mesyuarat secara dalam talian daripada ibu pejabatnya di Bangkok bagi membincangkan, membentangkan dan penerangan persediaan Hanoi sebagai tuan rumah.

Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Persatuan Paralimpik Vietnam (VPA) Huynh Vinh Ai, dihadiri presiden/wakil daripada Jawatankuasa Majlis Paralimpik (NPC) Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Myanmar, Singapura dan Vietnam.

Mej Jen Osoth berkata sebagai respon, VIEAPGOC akan membawakan cadangan BoG untuk memasukkan cadangan empat sukan itu kepada kerajaan Vietnam dan akan memaklumkan APSF keputusannya pada mingu-minggu yang akan datang.

“Berikutan ini, VIEAPGOC telah mencadangkan yang 11 jenis sukan untuk dipertandingkan di temasya itu, mengambil kira pelbagai faktor penganjuran termasuklah operasi, fasiliti, logistik, pengangkutan, penginapan, perubatan dan sumber manusia, selain cabaran bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kontigen, atlet, pegawai dan orang ramai akibat pandemik COVID-19.

“VIEAPGOC mempersembahkan persediaannya untuk keseluruhan pengurusan temasya itu termasuklah jadual pertandingan, fasiliti, venue, penginapan, pengangkutan, ketibaan dan pelepasan kontigen, perubatan dan panduan antidoping, pengurusan media dan siaran dan pengklasifikasian,” katanya.

Beliau berkata, VIEAPGOC telah menyatakan komitment mereka untuk memastikan perjalanan sukan yang lancar, dan akan meningkatkan langkah-langkah bagi memastikan keselamatan temasya berdasarkan kepada panduan yang ditetapkan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dalam menganjurkan temasya pelbagai acara itu.

Vietnam akan menjadi tuan rumah untuk Sukan Para ASEAN buat kali kedua selepas mereka menganjurkan edisi kedua sukan itu pada 2003, di mana hanya lima sukan dipertandingkan pada masa itu.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan