Images
  • la olimpik 2028
    (Gambar: Reuters)

Sukan Olimpik LA28 akan diadakan 'tepat pada masa dan tepati peruntukan belanjawan'

LOS ANGELES: Kathy Carter yang pada minggu ini dinamakan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles 2028, berkata bahawa temasya sukan itu kedua-duanya akan dijalankan dengan berhemat dan bakal meninggalkan kesan berpanjangan kepada tuan rumah.

Cik Carter memberitahu Reuters bahawa temasya Sukan itu akan memanfaatkan kemudahan-kemudahan sukan sedia ada di bandar itu dan ia akan menelan belanja sekitar AS$6.9 bilion (S$9.2 bilion), yang mana perbelanjaan itu akan ditampung menerusi pendapatan daripada tajaan, penjualan tiket dan sumber-sumber lain.

"Pertama sekali, kami akan menghoskan sebuah temasya Sukan yang tepat pada waktu dan menepati peruntukan belanjawan," kata Cik Carter yang mendapatkan tajaan-tajaan utama semasa berkhidmat sebagai ketua pegawai pendapatan jawatankuasa itu sebelum dinaikkan pangkat sebagai CEO.

"Terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk memudahkan para atlit, pihak berkepentingan dan terutama sekali para penyokong untuk menonton acara itu," katanya.

"Namun bagi kami, itu permulaannya, bukan pengakhiran kerana kami percaya jika itu sahaja yang kita lakukan, kita akan terlepas peluang untuk melakukan lebih banyak lagi."

Menurutnya, komponen utama dalam membina legasi berkekalan dan menawan hati penduduk bandar yang berasa ragu-ragu, adalah dengan melaksanakan program-program yang dapat memperbaiki kehidupan penduduk Los Angeles sekarang.

Justeru, LA28 mengikrarkan pelaburan AS$160 juta (S$215 juta) untuk menjadikan sukan lebih mudah diakses oleh kanak-kanak di merata Los Angeles, terutama sekali dalam masyarakat yang dipinggirkan, bagi sukan-sukan seperti berenang, tenis, golf dan judo.

"Kami tidak mahu tunggu sehingga 2029, setelah kami sudah tutup tirai temasya sukan itu dan menyelesaikan hal-hal kewangan, untuk mula meninggalkan kesan terhadap penyertaan kanak-kanak dalam sukan. Jadi usaha membolehkan kanak-kanak bermain dan mengurangkan halangan kemasukan sebagai bahagian utama dalam insiatif kami,' katanya.

"Kami percaya bahawa kami boleh memperbaiki kehidupan kanak-kanak di bandar Los Angeles."

- Reuters/HA/ha

Top