Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sukan Asia 2018: Media tidak dibenar masuk perkampungan sukan atlit

Pengamal media yang membuat liputan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, tidak dibenarkan memasuki perkampungan sukan atlit bagi mendapatkan bahan berita seperti biasanya dilakukan semasa temasya sukan besar lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan Asia 2018: Media tidak dibenar masuk perkampungan sukan atlit

(Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 10:12PM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 10:20PM

PALEMBANG: Pengamal media yang membuat liputan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, tidak dibenarkan memasuki perkampungan sukan atlit bagi mendapatkan bahan berita seperti biasanya dilakukan semasa temasya sukan besar lain.

Wakil Operasi Media Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk Palembang, Tony Mariadass, berkata keputusan itu diambil sebagai langkah keselamatan berikutan penempatan atlit yang terletak di Kompleks Sukan Jakabaring itu tiada zon antarabangsa.

Encik Mariadass, bagaimanapun, menerangkan bahawa pihak media boleh memasuki kawasan berkenaan jika mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) negara masing-masing.

"Biasanya perkampungan sukan atlit akan mempunyai sebuah bilik sidang media kecil dan kawasan antarabangsa yang diasingkan daripada tempat penginapan atlit, di mana media dan ibu bapa atau keluarga bertemu atlit.

"Perkara (kawasan antarabangsa) itu berada dalam perancangan tetapi kami tidak tahu kenapa tidak dibuat...jika mahu dibuat sekarang, tiada ruang yang mencukupi. Jadi kami terpaksa mengambil keputusan ini.

"Bagaimanapun, jika media mahu bertemu kontinjen negara masing-masing, perlu mendapatkan kebenaran daripada NOC mereka terlebih dahulu. Tetapi media boleh berada dalam kawasan NOC itu sahaja," kata beliau semasa sidang media yang diadakan selepas majlis perasmian Pusat Media Utama Palembang di Pusat Promosi Sriwijaya pada Jumaat (17 Ogos).

Wakil media biasanya akan ke perkampungan sukan atlit sebelum temasya sukan bermula secara rasmi dan selepas tamat, untuk mendapatkan maklumat daripada atlit dan jurulatih bagi bahan berita, manakala lokasi menjadi tumpuan utama ketika acara berlangsung.

Difahamkan bahawa perkampungan sukan atlit di Jakarta juga tidak mempunyai zon antarabangsa.

Lebih 500 petugas media dijangka membuat liputan Sukan Asia di Palembang.

Sementara itu, Ketua Operasi Media (Palembang) Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC), Ihsan Zuyadi, berkata bahawa banyak kemudahan disediakan kepada petugas media yang membuat liputan temasya sukan kedua terbesar di dunia itu, selepas Sukan Olimpik.

“Kami berharap ruang disediakan ini memberi keselesaan kepada media menjalankan tugas. Kita akan memperbaiki kekurangan yang ada untuk membantu media membuat liputan dengan lancar,” katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan