Images
  • suarez
    (Gambar: Malaysiakini)

Suarez, Aimar gembira JDT juara Liga Super 2018

JOHOR BAHRU: Pasukan JDT menerima ucapan tahniah daripada dua bintang bola sepak antarabangsa menyusuli kejayaan skuad itu menjuarai Liga Super sekali lagi pada tahun ini.

Menurut laporan Malaysiakini, seorang daripadanya ialah pemain antarabangsa Uruguay, Luis Suarez, 31 tahun.

"Tahniah kepada JDT kerana merangkul kejuaraan lima kali berturut-turut," katanya melalui satu klip video ringkas.

Klip itu dimuat naik ke akaun Facebook kelab bola sepak milik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menurut laporan Malaysiakini.

Seorang lagi bintang bola sepak yang mengutuskan tahniah ialah bekas pemain kelab Valencia dan Benfica, Pablo Aimar.

Aimar, 38 tahun, kini menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 17 tahun negaranya, Argentina. Suatu ketika dulu beliau pernah bermain untuk JDT, lapor Malaysiakini.

"Tahniah JDT untuk kejuaraan liga kali lima berturut-turut," kata Aimar.

JDT disahkan menjuarai Liga Super 2018 sebelum musim kali ini berakhir apabila pasukan itu mengalahkan Perak 2-1 di Ipoh, pada 11 Julai lalu.

Dengan kemenangan itu, JDT mengumpul sebanyak 47 mata daripada 18 perlawanan. Ketika itu, ada empat baki perlawanan.

Kemenangan tersebut tidak membolehkan mana-mana pasukan lain mencabar kedudukan JDT, termasuk Perak yang berada di tempat kedua.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata kejayaan JDT tidak dipengaruhi oleh perubahan jadual perlawanan tahun ini.

Menurut beliau, selain JDT, pasukan lain, seperti Kedah, Sarawak dan Selangor juga terlibat dalam perubahan berkenaan.

"Tetapi ramai bising apabila melibat JDT sahaja, sebab JDT juara," tambah beliau.

Tunku Ismail menambah untuk berjaya, sesebuah kelab bola sepak perlu menjadi kuasa besar.

"Anda tidak boleh menjadi muzium," katanya.

- Agensi berita/HS/hs

Top