Images
  • icc soccer players
    Para pemain Tottenham, Inter, Juventus dan Man United (Gambar-gambar: Reuters)

Spurs, Man United, Juventus dan Inter Milan bertandang dan berentap di S'pura

SINGAPURA: Juventus, Tottenham Hotspur, Inter dan Manchester United diumumkan hari ini (27 Mac) sebagai barisan yang bakal bermain di Singapura untuk Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC).

Dua perlawanan akan diadakan di Stadium Negara, dengan Manchester United bakal berdepan dengan Inter Milan pada 20 Julai manakala Juventus akan berentap dengan Tottenham Hotspur pada 21 Julai. Kedua-dua perlawanan bermula pada 7.30 malam.

Pihak penganjur tidak mengesahkan sama ada setiap pasukan akan membawa kesemua pemain masing-masing ke Singapura.

Antara bintang-bintang hangat termasuk Cristiano Ronaldo dari Juventus, Harry Kane dan Son Heung-min dari Spurs, Radja Nainggolan yang bermain untuk Inter Milan serta para pemain United, Paul Pogba dan Romelu Lukaku.

Para wakil yang hadir bagi acara pelancaran di Singapura ini bagi pihak bekas kelab masing-masing adalah Dwight Yorke (Man United), Francesco Toldo (Inter), Fabrizio Ravanelli (Juventus) dan Teddy Sheringham (Spurs).

Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dalam kejuaraan ICC di serata dunia sebagai sebahagian persiapan bagi permulaan musim Eropah 2019/20.

Spurs merupakan juara bertahan kejuaraan ICC.

Tahun lalu, tiga pasukan beraksi di Singapura bagi kejuaraan ICC - Arsenal, Atletico Madrid dan Paris Saint-Germain. Antara para pemain yang hadir termasuk Gianluigi Buffon dan Mesut Ozil.

Tiket-tiket bagi penonton awam mula dijual pada 4 April, 10.00 pagi menerusi SportsHubTix. 

- CNA/TQ/tq

Top