Images
  • jose mourino
    Mourinho. (Gambar: Jose Jordan/AFP)

Spurs ingin main peranan lebih besar banteras penderaan online terhadap pemain

REUTERS: Tottenham Hotspur ingin memainkan peranan dalam usaha memerangi penderaan online yang bersifat perkauman setelah pemain pertahanan Davinson Sanchez menjadi sasaran minggu lalu, dan mungkin menyertai pasukan-pasukan lain dengan memboikot media sosial, kata pengurus Jose Mourinho.

Juara Scotland, Rangers dan pasukan tahap kedua England, Swansea City, mengumumkan pada Selasa (6 Apr) akan memulaukan media sosial selama seminggu setelah beberapa pemain dari kedua-dua pasukan menjadi mangsa penderaan perkauman.

Sanchez juga menjadi sasaran di Instagram setelah seri 2-2 di Newcastle United pada Ahad (4 Apr).

"Kelab ini sedang memikirkan, menganalisis setiap perincian dan kelab tentu saja ingin memberi kesan," kata Mourinho kepada para wartawan sebelum perlawanan Liga Perdana England pada Ahad (11 Apr) di padang sendiri menentang Manchester United.

"Keputusan yang akan dibuat kelab akan kami terima dan sokong. Ini adalah perbincangan tertutup mengenai situasi yang menyedihkan.

"Berhubung Davinson, tiada lagi yang perlu diungkapkan mengenai kesedihan dalam situasi itu, namun saya hanya akan berkata bahawa beliau mendapat banyak sokongan (dalam kelab) kerana beliau orang yang baik dan semua orang menyokongnya dan beliau baik-baik saja."

Beberapa pemain Liga Perdana England seperti Axel Tuanzebe, Marcus Rashford dan Anthony Martial dari United serta pemain-pemain Arsenal, Willian dan Eddie Nketiah menjadi sasaran online dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Menghadapi tekanan dari badan-badan bola sepak England, Instagram sudah mengumumkan langkah-langkah baru, sementara Twitter berikrar akan terus mempergiatkan usaha setelah mengambil tindakan terhadap lebih 700 kes penderaan yang berkaitan dengan bola sepak di Britain pada 2019.

Bekas penyerang Arsenal dan Perancis Thierry Henry memadamkan akaun media sosial beliau bulan lalu sebagai bantahan terhadap platform-platform yang tidak mengambil tindakan ke atas pemegang akaun tanpa nama yang bersikap perkauman dan membuli.

- Reuters/TQ/tq

Top