Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

SportSG peruntuk $18 juta bantu gim, studio terjejas oleh sekatan terbaru COVID-19

SportSG akan memperuntukkan S$18 juta di bawah Pakej Daya Tahan Sukan bagi perniagaan dan individu bekerja sendiri yang terjejas oleh garis panduan COVID-19 yang terbaru, menurut SportSG dalam satu kenyataan media pada Selasa (11 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
SportSG peruntuk $18 juta bantu gim, studio terjejas oleh sekatan terbaru COVID-19

(Gambar: Pexels)

Diterbitkan : 11 May 2021 09:30PM Dikemas Kini : 11 May 2021 09:31PM

SINGAPURA: SportSG akan memperuntukkan S$18 juta di bawah Pakej Daya Tahan Sukan bagi perniagaan dan individu bekerja sendiri yang terjejas oleh garis panduan COVID-19 yang terbaru, menurut SportSG dalam satu kenyataan media pada Selasa (11 Mei).

Ini selepas langkah-langkah diperketat lantas hanya kegiatan fizikal ringan dibenarkan untuk diteruskan di gim dan studio kecergasan.

"Langkah-langkah baru ini bertujuan membantu mengurangkan kos operasi bagi perniagaan yang terjejas dan menyokong individu bekerja sendiri yang terjejas sepanjang tempoh ini, memelihara keupayaan teras, dan juga memacu industri ini untuk menggalakkan warga Singapura agar kekal aktif," menurut SportSG dalam satu kenyataan media.

Dana S$18 juta itu adalah sebahagian daripada tokokan S$25 juta kepada pakej tersebut yang diumumkan pada awal tahun ini. Keseluruhan jumlah dana sokongan COVID-19 di bawah pakej itu kini adalah S$75 juta.

Salah satu langkah yang bertujuan membantu mereka yang terjejas adalah geran operasi sukan dan riadah sebanyak S$7.7 juta.

Ini akan menyediakan sokongan tambahan kepada lebih daripada 500 entiti, secara khusus gim dan studio kecergasan, menurut SportSG.

Entiti yang layak akan menerima agihan sekali berjumlah antara S$5,000 hingga S$100,000 bagi tempoh tiga minggu itu. Jumlah sokongan yang diagihkan mengambil kira kos operasi seperti sewa dan gaji pekerja.

Selain itu, geran projek bagi individu bekerja sendiri, yang pertama kali diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada tahun in, akan menyaksikan kuantum geran dinaikkan daripada S$2.5 juta kepada S$7.5 juta. Ini bermakna ia dapat menyokong anggaran 300 projek, berbanding 100 sebelum ini, menurut SportSG.

Para pemohon geran yang berjaya boleh mendapatkan pendanaan sehingga S$25,000 bagi setiap projek.

S$2.8 juta juga diperuntukkan bagi dana sokongan individu bekerja sendiri dalam bidang sukan dan kecergasan, yang akan mengagihkan bantuan kewangan sekali sehingga S$400 bagi mereka yang layak dan hilang sekurang-kurangnya 50 peratus pendapatan sepanjang tempoh tiga minggu itu, tambah SportSG.

Para jurulatih sukan juga boleh memohon bagi geran elaun latihan pendidikan jurulatih berterusan, menurut SportSG.

"Langkah-langkah yang lebih tegas adalah perlu untuk membendung penularan COVID-19. Kami memahami kesannya terhadap industri sukan dan kecergasan yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Singapura," kata ketua pegawai eksekutif SportSG Lim Teck Yin.

"Kami mendampingi para pemilik perniagaan dan karyawan dalam sektor-sektor ini untuk memahami dengan lebih baik cabaran yang mereka dihadapi.

"Kami menghasilkan langkah bantuan tambahan bagi membantu mereka mengharungi kesan sepanjang tempoh penutupan ini. Kami menggesa semua orang supaya bekerjasama dalam membendung penularan COVID-19."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan