SportSG mohon maaf, silap umumkan Wartawan Sukan Terbaik
Agensi sukan nasional Sport Singapore (SportSG) pada Khamis (16 Mei) memohon maaf atas kesilapan yang menyebabkan orang lain tersilap menerima Anugerah Wartawan Sukan Terbaik tahun ini.
SINGAPURA: Agensi sukan nasional Sport Singapore (SportSG) pada Khamis (16 Mei) memohon maaf atas kesilapan yang menyebabkan orang lain tersilap menerima Anugerah Wartawan Sukan Terbaik tahun ini.
Encik Dilenjit Singh dari akhbar New Paper diumumkan sebagai pemenang semasa upacara penyampaian anugerah pada Selasa.
Namun, pemenang sebenarnya ialah wartawan Straits Times Sazali Abdul Aziz, menurut SportSG dalam kenyataan media pada Khamis.
Para wakil panel penilaian memaklumkan SportSG mengenai kesilapan itu sehari selepas acara tersebut.
"Menyusuli siasatan, SportSG mengesahkan bahawa artikel-artikel yang terpilih dipadankan dengan wartawan yang salah. Ini merupakan kesilapan pentadbiran yang dilakukan seorang kakitangan SportSG," menurut agensi itu.
Ia menambah kesilapan itu tiada kaitan sama sekali dengan juruaudit bagi upacara itu, KPMG.
"Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada Dilenjit dan Sazali atas kesilapan itu. Kami mengucapkan tahniah kepada Sazali atas kemenangannya yang memang wajar," kata Encik S Parameswaran, timbalan pengarah perhubungan awam SportSG.
Anugerah Wartawan Sukan Terbaik mengiktiraf sumbangan seseorang wartawan kepada arena sukan tempatan. Ia diberikan sebagai sebahagian daripada Anugerah Sukan Singapura.
Dianjurkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan SportSG, acara penyampaian Anugerah Sukan Singapura tahun ini diadakan di Orchard Hotel.
Perenang Joseph Schooling dan penembak Martina Veloso masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Terbaik tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.