Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

SportSG kata akan sokong bekas peluncur ais yang dakwa didera ketika berlatih di China

Pasukan Bertindak Safe Sport di bawah badan pentadbir Sport Singapore dan Persatuan Sukan Luncur Ais Singapura (SISA) menyatakan mereka akan menyokong bekas peluncur ais Singapura Jessica Yu Shuran, menyusuli satu rencana yang mendedahkan tentang penderaan fizikal dan lisan yang dialaminya di China.

Anggaran Waktu Membaca:
SportSG kata akan sokong bekas peluncur ais yang dakwa didera ketika berlatih di China

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 06:14PM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 06:24PM

SINGAPURA: Pasukan Bertindak Safe Sport di bawah badan pentadbir Sport Singapore dan Persatuan Sukan Luncur Ais Singapura (SISA) menyatakan mereka akan menyokong bekas peluncur ais Singapura Jessica Yu Shuran, menyusuli satu rencana yang mana atlit berusia 19 tahun itu mendedahkan tentang penderaan fizikal dan lisan yang dialami ketika berlatih di China.

"Sport Singapore (SportSG) dan SISA berasa kecewa apabila mendapat tahu tentang nasib yang dialami oleh Jessica dalam perjalanan kesukanan beliau di luar negara," kata seorang jurucakap SportsSG pada Jumaat (24 Jul) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Kesejahteraan kesemua atlit adalah diutamakan dalam penerimaan sukan. Jessica sudahpun menghubungi Pegawai Perlindungan SISA dan pasukan bertindak Safe Sport, dan kami sedang memberi sokongan sewajarnya kepada beliau."

Dalam rencana awal minggu ini yang diterbitkan akhbar Britain The Guardian, Yu menggambarkan "penderaan" yang dilalui oleh dirinya dan para atlit lain di China, pengalaman yang turut dikongsi dalam satu catatan di Instagram sehari selepas itu.

Yu, yang merangkul pingat emas untuk Singapura dalam Sukan SEA pada 2017, turut berkata bahawa "budaya disiplin secara fizikal" adalah satu kelaziman di China, dan para atlit kerap dikecam sebagai "pemalas", "bodoh", "bebal", "tidak guna" dan "gemuk".

"Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) kami memaklumkan dan memberi kemas kini kepada para atlit kami yang berpangkalan di luar negara mengenai saluran bantuan yang disediakan bagi mereka. Para atlit yang berpangkalan di luar negara boleh menghubungi para pegawai perlindungan dari NSA mereka jika mereka memerlukan nasihat dan sokongan," kata jurucakap SportSG itu.

Yu bersara dari sukan luncur ais pada 2018. Beliau yang dilahirkan dan dibesarkan di China, berkata bahawa beliau memutuskan untuk mendedahkan penderaan yang berlaku setelah menonton dokumentari bertajuk Athlete A di Netflix yang berkisarkan penderaan seksual yang berleluasa dalam sukan gimnastik di Amerika Syarikat, dan juga setelah beliau membaca tentang dakwaan penderaan secara meluas dalam sukan gimnastik di Britain.

"Dasar keselamatan dan langkah-langkah terus dipertingkatkan dalam arena sukan di Singapura. Sejauh ini, hampir 100 pegawai perlindungan dilatih dan usaha telah dijalankan untuk melibatkan masyarakat sukan," kata jurucakap SportSG itu.

"Segala usaha diambil bagi memastikan setiap orang dalam masyarakat ini - para atlit, jurulatih dan pegawai, memahami betapa penting keselamatan sukan ini dan sedar akan proses membuat aduan bagi para atlit sama ada kepada seorang Pegawai Perlindungan Keselamatan atau secara langsung kepada Pasukan Bertindak Safe Sport. Usaha-usaha ini perlu diteruskan."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan