Images
  • Ole Gunnar Solskjaer
    Ole Gunnar Solskjaer. (Gambar: Ole Gunnar Solskjær/Facebook)

Solskjaer tidak puas hati dengan tempat ke-4 untuk Man Utd; mahu genggam piala

LONDON: Pemangku pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata beliau tidak akan berpuas hati dengan kedudukan empat teratas Liga Perdana, sebaliknya beliau menyasarkan kejuaraan dalam dua perlawanan piala pada separuh kedua musim ini.

United, yang kini menduduki tempat keenam, memenangi kesemua enam perlawanan liga sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho. Pasukan Red Devils itu merapatkan jurang mata dari 11 mata kepada tiga mata antaranya dengan pasukan tempat keempat, Chelsea. Pada masa yang sama, United masih berpeluang untuk menjulang Piala FA dan Liga Juara-Juara.

"Man Utd harus sentiasa berusaha untuk menjuarai liga," katanya kepada para wartawan sebelum perlawanan menentang Burnley pada Selasa (29 Jan).

"Kita tidak boleh mencapainya pada tahun ini, tetapi kita perlu sahut cabaran itu. Kita masih mempunyai Liga Juara-Juara, kami mendapat Piala FA, kita tidak boleh setakat mengatakan kita hanya mendapat tempat keempat dan berhenti di situ sahaja."

Manchester United kali terakhir menjulang piala pada 2017, apabila ia memenangi Liga Europa. Namun pasukan itu tidak pernah memenangi Liga Perdana sejak musim terakhir mantan jurulatih Alex Ferguson di Old Trafford pada 2012-13.

Walaupun Solskjaer akur sasaran menjadi juara liga tidak realistik musim ini, beliau mahu pasukannya mengejar Tottenham Hotspur, yang berada tujuh mata hadapan di tempat ketiga.

"Kami berada di tangga keenam pada masa ini, jadi kita jauh dari pasukan-pasukan teratas. Kita sedang berentap untuk mencapai tempat ketiga pada masa ini," kata warga Norway itu.

"Ia melibatkan penyusunan semula dan memulakan musim depan untuk bersedia mencabar dan mendapatkan lebih banyak mata."

United akan menentang juara bertahan Chelsea di pusingan kelima Piala FA pada 16 Feb, empat hari selepas mereka mengalahkan juara Perancis, Paris Saint-Germain, pada perlawanan pertama Liga Juara-Juara.

- Reuters/TQ/tq

Top