Images
  • anthony martial man utd
    Pemain Man Utd Anthony Martial (Gambar: AFP)

Solskjaer harap lanjutkan kontrak Martial dengan Man U

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer berharap Anthony Martial akan bersetuju untuk memperbarui kontrak dengan Manchester United dalam minggu-minggu mendatang, sedang kelab tersebut berusaha mengekalkan sepasukan pemain unggul.

Penyerang Perancis, Martial dan penjaga gawang, David de Gea, kedua-duanya akan tamat kontrak menjelang akhir musim depan selepas United membuka pilihan melanjutkan kontrak selama 12 bulan sejurus sebelum Krismas.

Kelab itu kini berunding dengan kedua-dua pemain serta pemain hadapan Juan Mata, yang kontraknya akan berakhir pada Jun ini.

Ed Woodward, naib pengerusi eksekutif United, berminat untuk menyelesaikan isu masa depan ketiga-tiga pemain sedang beliau berusaha melantik seorang pengurus tetap sebelum permulaan musim depan.

Martial dipercayai hampir-hampir mempersetujui kontrak lima tahun, manakala pemain Sepanyol, De Gea sudah menunjukkan beliau ingin terus bermain di Old Trafford.

Solskjaer, pemangku pengurus United sehingga akhir musim ini ekoran pemecatan Jose Mourinho pada Disember, diberitahu bahawa rundingan bersama Martial, De Gea dan Mata berjalan lancar.

"Saya fikir kelab membuat perkembangan baik (dalam rundingan) namun saya serahkan kepada orang yang tepat untuk menguruskannya," katanya. "Saya tidak tahu sejauh mana kami sekarang ini (daripada mendapatkan persetujuan pemain) namun kami harapkan berita gembira dalam beberapa minggu akan datang."

Solskjaer, yang memenangi tujuh pertandingan pertamanya sejak mengambil alih daripada Mourinho, akan cuba melanjutkan rekod kemenangan itu Jumaat ini (25 Jan), apabila anak didiknya bertandang ke padang Arsenal dalam pusingan keempat Piala FA.

Laporan media Britain membayangkan bahawa United menolak tawaran dari Arsenal untuk mengambil Eric Bailly sebagai pemain pinjaman sepanjang musim ini. Solskjaer bagaimanapun berkata beliau tidak tahu menahu tentang sebarang tawaran berhubung pemain pertahanan dari Ivory Coast itu.

- AFP/TQ/tq

Top