Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Skuad lebih kecil tapi pesilat S’pura yakin saingi 2 pingat emas Sukan SEA KL

Hanya 12 pesilat saja yang akan masuk gelanggang bagi mewakili Singapura di Sukan SEA Manila pada Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Hanya 12 pesilat saja yang akan masuk gelanggang bagi mewakili Singapura di Sukan SEA Manila pada Disember ini.

Ini kerana jumlah kategori dan kelas yang akan dipertandingkan kali ini jauh lebih rendah berbanding edisi-edisi lalu.

Berbanding 20 pesilat yang mewakili negara di Sukan SEA 2017, hanya 12 saja turun gelanggang kali ini.

Dengan ini, prospek negara untuk menyaingi jumlah pingat yang diraih di Kuala Lumpur dua tahun lalu - iaitu dua butir emas, empat perak, enam gangsa - mungkin tidak kesampaian apatah lagi tanpa kehadiran pendekar-pendekar hebat negara seperti jaguh dunia, Sheik Ferdous dan Sheik Farhan.

Sungguhpun demikian, para jurulatih tetap menyasarkan dua pingat emas untuk menyamai prestasi edisi dua tahun lalu. Para jurulatih bagaimanapun bertegas bahawa mungkin terdapat ‘hikmah’ di sebalik keputusan tuan rumah Filipina untuk tidak mempertandingkan beberapa acara.

“Sangat disayangkan kerana melihat pada prestasi mereka (Ferdous dan Farhan), mereka sangat konsisten dan dalam setiap pertandingan mereka mendapat emas. Sangat disayangkan kerana memang kedua-dua atlit itu sangat berpotensi untuk mendapatkan emas.

Sudah lebih lima tahun Muhammad Fiqri menjadi jurulatih para pesilat kategori tanding Singapura. 

“Tapi pada saya, ia keuntungan untuk saya juga kerana dengan jumlah atlit yang lebih rendah ini, saya boleh benar-benar lebih terperinci lagi melihat apa kekurangan dan apa kelebihan seseorang atlit itu,” kata Muhammad Fiqri, jurulatih kategori tanding.

Seperti beliau, rakan-rakan jurulatih bagi para pesilat kategori Seni juga menumpukan perhatian kepada pembangunan skuad yang sedia ada meskipun mereka akur bahawa pasukan negara mungkin berupaya menambah bilangan pingat jika acara Ganda dan Regu Puteri turut dipertandingkan kali ini.

“Dilihat dari pencapaian Kejohanan Dunia di Singapura, bagi kategori Puteri, kita boleh dapat satu lagi emas dan satu perak. Oleh itu, saya rasa ini kekurangan buat kita kerana saya rasa kita boleh dapatkan lebih banyak pingat.

“(Namun) Kita ada empat kategori lain iaitu Tunggal Putera dan Puteri, Regu Putera dan Ganda Putera. Saya berharap semua akan sekurang-kurangnya meraih pingat,” luah Muhammad Hamdi jurulatih kategori seni.

SANG PUTERI HARAPAN IBU PERTIWI

Dengan itu, harapan Singapura bagi kategori Puteri kini terletak di bahu satu-satunya srikandi negara dalam acara Seni Tunggal, iaitu Nurzuhairah Mohd Yazid.

Pesilat berusia 21 tahun itu malah dijangka akan membawa pulang pingat emas dari gelanggang Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay kelak.

“Seharusnya untuk Zuhairah ini memang dia patut mendapatkan emas tapi kita hanya berdoa, terus berusaha dan mudah-mudahan matlamat itu akan tercapai,” jamin Hamdi yang juga adalah jurulatih pesilat tersebut semasa beliau membuat penampilan sulung di Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Sejak Sukan SEA 2017, Zuhairah terus-menerus menyertai pertandingan berturut-turut dan mencatat prestasi konsisten lagi cemerlang.

Turut membanggakan Singapura adalah apabila anak sulung dua beradik itu muncul sebagai juara di temasya berkenaan dan prestasinya di beberapa kejohanan seterusnya juga cemerlang dengan antaranya meraih pingat perak di Sukan Asia 2018 dan kemudian bergelar juara dunia setelah menumpaskan lawan-lawan lain di Kejohanan Pencak Silat Sedunia pada tahun yang sama.

Berbekalkan semangat juang yang teguh, Zuhairah kini lebih yakin dapat sekali lagi menjulang mahkota Seni Tunggal.

“Saya yakin saya boleh kerana di pertandingan sebelum Sukan SEA baru-baru ini juga, saya dapat hasilkan pingat emas. Walaupun apa-apa saja boleh berlaku, saya akan menemui lawan yang sama iaitu Indonesia, Filipina dan yang lain – mereka yang saya sudah ketemui di Sukan SEA 2017. Oleh itu, kali ini, saya hanya perlu mempertahankan kejuaraan saya,” ujar beliau.

SUDAH SEDIA TEBUS MARUAH

Dalam usaha memperhebatkan lagi persiapan menjelang temasya dwitahunan itu, pasukan negara kini sudah masuk ke fasa terakhir iaitu latihan sebanyak tiga kali sehari sepanjang minggu ini.

Tahap latihan intensif sedemikian tentu sekali akan menguji tekad dan semangat juang para pesilat negara dan mereka harus bijak mengimbangi masa agar segala usaha tidak sia-sia.

Maka itu, sokongan keluarga dan dorongan teman-teman seperjuangan memainkan peranan penting, menurut pendekar muda negara Muhd Hazim Mohd Yusli, 17 tahun yang akan mewakili Singapura buat julung-julung kalinya di Sukan SEA.

Hazim akan membuat penampilan sulung di Sukan SEA kelak. 

“Dengan sokongan keluarga dan pasukan saya, saya dapat memberi motivasi kepada diri sendiri untuk pergi lebih jauh daripada ini dan saya harap Sukan SEA pertama ini, saya akan menjadikanya sebagai memori yang indah,” kata Hazim yang akan bertarung dalam Kelas B (50-55kg).

Lebih dari itu, Hazim turut berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa azam yang membara untuk melenturkan seteru utamanya, Hidayat Limonu dari Indonesia, membakar semangat beliau untuk melawan penat dan terus berlatih dengan gigih lagi.

Ogos lalu, semasa di peringkat akhir Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Sedunia (World Martial Arts Mastership) di Korea Selatan, Hazim kecundang di tangan Hidayat. Malangnya, beliau terlepas peluang untuk menebus kekalahan di gelanggang pra-Sukan SEA bulan lalu selepas terpaksa menarik diri akibat kecederaan pada kaki kanannya.

“Saya tidak dapat bertarung di peringkat akhir pra-Sukan SEA kerana saya cedera tapi itu tidak menghalang saya untuk mencatat prestasi lebih baik sedangkan (pada waktu itu) saya harus berjaga-jaga kerana saya tidak mahu kecederaan saya menjadi lebih teruk. Oleh itu, saya berharap di Sukan SEA ini saya berjaya membalas dendam!” kata pelajar ITE itu dengan penuh semangat.

Hanya tinggal beberapa hari saja sebelum Sukan SEA edisi ke-30 membuka tirainya pada 30 Nov ini, dengan pasukan silat negara dijadual berangkat Sabtu ini (29 Nov) sebelum memulakan pertandingan silat dari 1 hingga 6 Disember di Subic Bay, Filipina. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan