Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Skuad bola lantai wanita S’pura pertahankan takhta; sumbang emas kedua Sukan SEA

Pasukan bola lantai wanita Singapura berjaya mengekalkan keunggulannya di Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di Filipina.

Anggaran Waktu Membaca:
Skuad bola lantai wanita S’pura pertahankan takhta; sumbang emas kedua Sukan SEA

Pasukan bola lantai wanita Singapura menundukkan Thailand 3-2 dalam perlawanan akhir di Sukan SEA ke-30 pada 1 Dis. (Gambar: BERITAmediacorp)

METRO MANILA: Pasukan bola lantai wanita Singapura berjaya mengekalkan keunggulannya di Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di Filipina.

Ini selepas pasukan negara menundukkan Thailand 3-2 dalam perlawanan akhir yang diadakan di Gim Kolej Kinetik Manusia, Universiti Filipina di Quezon City, Metro Manila hari ini (1 Dis).

Pasukan bola lantai wanita Singapura menundukkan Thailand 3-2 dalam perlawanan akhir di Sukan SEA ke-30 pada 1 Dis. (Gambar: BERITAmediacorp)

Dengan kemenangan tersebut, skuad negara yang mendahului negara-negara Asia Tenggara dalam ranking dunia, turut menyumbang pingat emas kedua kepada Singapura selepas Yong Yi Xiang muncul juara di gelanggang wushu pagi tadi.

Dalam meraih kemenangan itu, pasukan negara juga berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai pasukan bola lantai paling unggul di Asia Tenggara sejak kali terakhir sukan bola lantai dipertandingkan di Sukan SEA sekitar empat tahun lalu. 

PERLAWANAN SENGIT

Beratus-ratus penonton yang hadir untuk memberi sokongan dihidangkan dengan perlawanan penuh aksi sedang kedua-dua pasukan bertubi-tubi melancarkan serangan.

Gol pertama Singapura yang dijaringkan oleh Natalia Wee malangnya dibalas oleh pasukan Thailand pada minit ke-7.

Medan pertarungan menjadi semakin sengit selepas pemain pertahanan Singapura Tiffany Ong dikenakan penalti selama dua minit setelah menjatuhkan pemain lawan, Tongkham Tanaporn.

Dengan kekurangan seorang pemain, penjaga gawang negara Fariza Begum dicabar pula dengan serangan bertubi-tubi. Sungguhpun demikian pasukan negara dapat terus bertahan.

Dan ata sebab kecekalannya mempertahankan gawang, Fariza digelar Pemain Terbaik Singapura malam.

"Saya sangat gembira. Ini adalah usaha sepasukan. Bukan kemenangan saya sendiri. Kita telah berlatih dengan sungguh-sungguh dan apa yang diraih hari ini adalah hasil kerja keras kami itu," katanya.

Perlawanan setelah kembalinya dari waktu rehat tidak kurang sengit dan menghiburkan.

Fariza Begum beraksi semasa Sukan SEA ke-30, menentang pasukan Thailand. (Gambar: BERITAmediacorp)

Fariza Begum digelar Pemain Terbaik Singapura selepas perlawanan berakhir.

Pada minit ke-4 dalam sepertiga kedua, Amanda Yeap yang menyarung jersi nombor 22 dalam skuad kebangsaan merembat bola ke arah gol lawan tapi sayangnya terkena tiang gol.

Percubaan Siti Nurhaliza kurang dua minit kemudian ditepis oleh penjaga gawang Thailand Soramak Pornsawan.

Siti Nurhaliza beraksi semasa Sukan SEA ke-30, menentang pasukan Thailand. (Gambar: BERITAmediacorp)

Siti Nuhaliza memanfaatkan pengalaman bermain di luar negara dalam perlawanan bertemu Thailand itu.

Benteng pertahanan Singapura terus diasak oleh para penyerang Thailand. Malangnya, pada minit ke-35, Thailand akhirnya berjaya membolosi gawang pasukan negara untuk mendahului perlawanan 2-1.

Namun begitu, pasukan negara tidak mahu menyerah kalah.

Para pemain melangkah ke sepertiga akhir penuh tekad dan azam untuk meraih pingat emas.

Pada minit ke-41, pasukan negara berjaya menyamakan kedudukan 2-2 hasil jaringan Amanda Yeap.

Pasukan bola lantai wanita Singapura menentang Thailand dalam perlawanan akhir di Sukan SEA ke-30 pada 1 Dis. (Gambar: BERITAmediacorp)

Singapura terus memberi tekanan sepanjang baki perlawanan. Dengan hanya dua minit sebelum wisel penamat ditiupkan, Jerelee Ong berjaya menghadiahkan gol kemenangan buat pasukan negara.

"Saya rasa amat bangga kerana kami telah berlatih bersungguh-sungguh untuk hari ini dan akhirnya kami berjaya mendapat pingat emas untuk perlawanan tersebut," kongsi Siti.

Turut bangga dengan pencapaian mereka adalah jurulatih Louise Khng yang menambah:

"Ia adalah kemenangan yang manis. Kami tahu bahawa Thailand akan kembali lebih kuat untuk menebus kekalahan 4-1 di tangan kami sebelum ini. Namun, pasukan kami fokus dari segi daya mental dan menyokong satu sama lain. Akhirnya kami berhasil bermain bersama dengan baik."

MENANG BERTURUT-TURUT

Srikandi negara mempamerkan prestasi yang cemerlang sepanjang tempoh pertandingan yang bermula Selasa lalu (26 Nov).

Dalam perlawanan pembukaan, Singapura menewaskan Malaysia 8-2 sebelum mengalahkan Thailand 4-1 pada keesokan harinya (27 Nov).

Keunggulan pasukan negara terus menyerlah selepas dengan mudah menundukkan Filipina 8-1 pada 28 Nov dan membelasah Indonesia 12 -1 pada Jumaat lalu (29 Nov).

Pasukan bola lantai lelaki Singapura akan menentang Thailand pada 6.00 petang ini.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan pertama.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan