Images
  • men floorball 1
    Skuad bola lantai lelaki Singapura kecundang di tangan Thailand 9 - 10 dalam perlawanan akhir Sukan SEA ke-30 pada 1 Dis 2019. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Skuad bola lantai lelaki S’pura kecundang dalam perlawanan akhir Sukan SEA

METRO MANILA: Skuad bola lantai lelaki negara gagal menambah sebutir lagi pingat emas buat Singapura bagi menyaingi kehebatan pasukan wanita negara yang muncul juara siang tadi (1 Dis).

Juara bertahan Singapura kecundang 9-10 di tangan Thailand dalam perlawanan akhir Sukan SEA ke-30 di Gim Kolej Kinetik Manusia Universiti Filipina di Quezon City, Metro Manila.

Skuad negara menyambut gol pembukaan tapi tuah tidak menyebelahi mereka dalam baki perlawanan yang menyusul.

Dengan kedua-dua pasukan menduduki dua tangga teratas dalam kalangan negara-negara Asia di peringkat dunia, perlawanan antara kedua-dua pasukan itu sangat sengit dan penuh aksi sehingga dilanjutkan ke masa tambahan dan kemudian ke penentuan mendebarkan melalui jaringan dari petak penalti pula.

BERASAK-ASAK LAGA TUBUH

Dari awal perlawanan lagi, pasukan Thailand memilih strategi yang agresif dan seawal minit ke-4 salah seorang pemainnya dikenakan penalti selama dua minit selepas menjatuhkan pemain Singapura.

Tanpa berlengah, pasukan negara dengan pantas menyambar peluang untuk menjaringkan gol pembukaan melalui rembatan kencang Sorreda Jenmark. Namun begitu, penyerang pasukan lawan Thaidit Pawat menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Keadaan menjadi genting apabila kapten pasukan negara Syazni Ramlee mengalami kecederaan setelah dijatuhkan oleh Pimpa Veerasak dari Thailand dan perlawanan terpaksa dihentikan buat seketika.

R Suria dan Syazni Ramlee mengawal benteng pertahanan dengan ketat.

Ketiadaan pemain mapan Singapura itu ternyata menjejas semangat juang pasukan negara. Tidak lama kemudian, Nakpraserk Chusark berjaya menembusi benteng pertahanan pasukan negara untuk meletakkan Thailand di hadapan.

Walau bagaimanapun para pemain pasukan negara berjaya bangkit di saat-saat akhir babak pertama. Para pemain Singapura mengambil kesempatan daripada hukuman penalti lima minit yang dikenakan ke atas Chaiyakul Pi untuk menghasilkan peluang gol.

Pada minit ke-16, R Suria menjaringkan gol penyamaan dan Sorreda pula menjaringkan gol keduanya beberapa saat kemudian, sekali gus mengembalikan kelebihan gol kepada Singapura.

Dengan kelebihan itu, anak didik jurulatih Lim Jin Quan terus menguasai rentak permainan meskipun pasukan lawan semakin agresif dengan dua pemainnya dikenakan penalti dalam tempoh dua minit babak kedua perlawanan.

Lim Jin Quan (tengah), jurulatih baru lagi muda menyandang kepimpinan skuad negara awal tahun ini.

Dalam babak kedua perlawanan, pasukan negara sempat berpesta gol melalui jaringan Ng Juin Jie, Lee Chee Yong, Tng Zong Wei dan R Suria yang masing-masing menghadiahkan satu gol buat Singapura. Thailand pula hanya mampu menyumbatkan dua gol hasil jaringan Srisahwat Anupong dan Thaidit Pawat.

SINGAPURA GAGAL BERTAHAN

Namun, tuah tidak memihak pada pasukan Singapura. Para pemain negara gagal merebut peluang untuk menjulang mahkota yang pernah dijuarainya di Sukan SEA 2015.

Di babak terakhir, Glendon Phua menambah satu lagi gol pada minit ke-37, menjadikannya lapan secara keseluruhannya tetapi malangnya Thailand berhasil merapatkan jurang sehingga seri 8-8 pada akhir tempoh 20 minit babak tersebut.

Semasa melangkah ke masa tambahan, kesemua pemain jelas kelihatan letih selepas lebih 60 minit bertarung.

Perlawanan sengit itu diheret ke penentuan melalui jaringan dari petak penalti pula selepas kedua-dua pasukan tidak berjaya menjaringkan gol dalam masa tambahan.

M Devanand cuba sedaya upaya untuk mempertahankan jaringan penalti pasukan lawan namun tidak mencukupi.

Sorakan penonton yang bertambah lantang tidak dapat menyemarakkan semangat para pemain negara dan Thailand akhirnya menyumbatkan dua gol menerusi jaringan petak penalti berbanding satu yang dijaringkan oleh penyerang Singapura.

Mengulas tentang perlawanan tersebut, Syazni berkata: "Saya rasa kita mempamerkan prestasi baik pada mulanya tapi pada babak kedua dan terakhir, kita kurang fokus dan terlalu banyak mendapat penalti. Saya rasa kami patut lebih disiplin dan fokus."

Sebak menahan kekecewaan tidak dapat meraih emas buat negara.

Pertandingan bola lantai melabuhkan tirainya di Filipina dengan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Singapura berjaya menjangkaui sasaran yang ditetapkan bagi temasya dwitahunan tersebut. 

Jurulatih pasukan bola lantai Jin Quan tetap bangga dengan pencapaian anak didiknya tapi akur mereka boleh mempertingkatkan lagi tahap permainan.

"Saya rasa memang sukar tapi kami harus merenung kembali perkembangan kami sejauh ini dan betul-betul menumpukan perhatian kepada apa yang harus diperbaiki agar dapat menjadi lebih baik," katanya.

- BERITAmediacorp/fz

Top