Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Siti Nurhayati, Muhd Rusydi, Siti Nurhamizah bertekad catat prestasi cemerlang di Sukan Olimpik Khas Dunia

Seramai 30 atlit kurang daya intelek akan mewakili Singapura di Sukan Olimpik Khas Dunia yang bakal berlangsung di Abu Dhabi dari 14 hingga 21 Mac ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 30 atlit kurang daya intelek akan mewakili Singapura di Sukan Olimpik Khas Dunia yang bakal berlangsung di Abu Dhabi dari 14 hingga 21 Mac ini.

Mereka akan menyertai 7,500 atlit lain dari 192 negara yang akan bertanding dalam 24 jenis sukan di temasya dwitahunan itu dengan tujuan meraikan nilai inklusif melalui sukan.

Bagaimanakah persiapan para atlit negara?

Tiga atlit Special Olympics Singapore dan pembimbing serta anggota keluarga mereka berkongsi tentang prestasi mereka sejauh ini secara eksklusif dengan BERITAmediacorp.

LEBIH MOTIVASI BERLATIH DENGAN PELAJAR ALIRAN UTAMA

Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, Siti Nurhayati Ali Aksar Khan, menaiki bas hampir sejam lamanya dari Sekolah Menengah Delta APSN ke Politeknik Ngee Ann untuk menghadiri sesi latihan olahraga.

Siti Nurhayati di satu sesi latihan di balapan Politeknik Ngee Ann. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin/BERITAmediacorp)

Melawan rasa penat selepas sehari suntuk bersekolah, pelajar 17 tahun ini giat memperhalusi gaya larian dan bersungguh-sungguh menguatkan lagi otot-ototnya untuk mencapai prestasi terbaik di Abu Dhabi kelak.

“Saya akan menyertai acara 100 meter, 200 meter dan lari berganti-ganti. Saya akan mencapai pingat perak bagi ketiga-tiga acara!” ungkap lulusan Grace Orchard School itu, dengan penuh keyakinan.

Ini kerana motivasi daripada anggota keluarga, jurulatih serta guru pembimbingnya menjadi pembakar semangat untuk sampai ke puncak jaya.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk sifat inklusif dalam kalangan masyarakat, atlit Special Olympics Singapore ini turut menjalani latihan bersama para pelajar dari sekolah-sekolah lain di bawah bimbingan bekas jaguh pecut negara Haron Mundir.

Sebagai Pemimpin Atlit Special Olympics Singapore, Siti diberi peluang untuk memberi ucapan di Majlis Penyampaian Bendera siang tadi (23 Feb). (Gambar: Wallace Woon/Special Olympics Singapore) 

Menurut guru pembimbingnya, Encik Noor Hanif Sulaimee, 30 tahun, ia membantu para pelajar aliran utama dan berkeperluan khas, saling mengenali kelemahan dan kekuatan antara satu sama lain.

“Bagi saya, ia sangat penting kerana dengan adanya sikap empati, mereka yang ‘special’ dan yang ‘normal’ boleh memahami satu sama lain, lantas membangunkan negara yang lebih inklusif” kongsi beliau yang sudah lapan tahun mengajar di sekolah bagi pelajar berkeperluan khas.

Malah, tambah guru Eden School itu: “Selalunya, orang ramai menganggap pelajar ‘special’ ini tidak berkebolehan tetapi saya dapat melihat apabila mereka diberi peluang, mereka boleh lakukan lebih baik daripada golongan ‘neurotypical’.”

“Saya rasa gembira dapat berlatih dengan pelajar-pelajar sekolah lain. Saya rasa lebih bermotivasi (apabila berlatih) dengan mereka,” sambut Siti pula.

DIHARAP DAPAT SUMBANG SEMULA KEPADA MASYARAKAT

Di pusat sukan Jforte Sports yang terletak di Kovan pula, Siti Nurhamizah Hamzah, tekun mengatur langkah sebelum menggolekkan bola boling untuk menjatuhkan kesemua pin di penghujung lorong.

Siti Nurhamizah (baju oren) sedang tekun berlatih. (Gambar Ihsan: Rosmawati Rusli)

Dari belakang, ibunya, Rosmawati Rusli, 46 tahun memperhatikan anaknya itu bersama jurulatih dan anggota pasukannya yang lain.

“Insya Allah saya akan membuat yang terbaik untuk berjaya. Saya memang minat main boling dan boling bantu saya untuk berlatih bersungguh-sungguh,” ujar Hamizah, yang bakal mewakili negara dalam sukan boling di Abu Dhabi pada Mac ini.

Disebabkan palsi serebrum, otot-otot di beberapa bahagian tubuh pelajar 21 tahun itu tidak kuat. Lantas, dalam persiapan selama berbulan-bulan ini, beliau harus juga berdisiplin menjaga pemakanannya dan mengikuti sesi-sesi latihan jasmani.

“Alhamdulillah, saya rasa amat bangga dan bersyukur. Hamizah banyak berkorban masa dan tenaga dalam persiapannya untuk berjaya,” kata ibunya.

Hamizah (kedua dari kiri) dengan bangganya mengibarkan bendera Singapura di Majlis Penyampaian Bendera siang tadi (23 Feb). (Gambar: Wallace Woon/ Special Olympics Singapore)

Meskipun sibuk menguruskan lagi dua orang anaknya yang turut merupakan kanak-kanak berkeperluan khas dan juga orang tuanya yang mengalami demensia, suri rumah tersebut tetap meluangkan masa untuk menghadiri ketiga-tiga sesi latihan Hamizah setiap minggu.

Malah, Cik Rosmawati turut menyumbang tenaga sebagai seorang sukarelawan Special Olympics Singapore bagi program-program pertuturan dan sesi-sesi gim bagi para atlit di bawah naungan persatuan itu.

“Saya berfikir, jika ada pihak lain yang sanggup membantu saya, mengapa tidak saya membantu orang lain juga… Saya selalu berpesan kepada anak-anak saya supaya selalu bersyukur atas kesemua sokongan yang mereka terima dan apa yang telah diberikan oleh Allah,” kongsi beliau lagi.

Cik Rosmawati turut melahirkan harapan agar satu hari nanti, Hamizah dapat menjadi penolong jurulatih dan dapat menyumbang semula kepada mereka yang senasib dengannya.

JAGUH NEGARA IMPIKAN PINGAT DUNIA

Jika bukan kerana pujukan nenek beliau lapan tahun lalu, Muhammad Rusydi Abdullah mungkin tidak mendapat peluang keemasan untuk mengharumkan nama negara dalam sukan boccia di peringkat antarabangsa.

Ketika itu, pelajar 17 tahun ini enggan mewakili sekolahnya bagi Sukan Kebangsaan Special Olympics Singapore gara-gara ingin meluangkan masa cutinya untuk beriadah di Taman East Coast.

Rusydi memenangi pingat perak di salah sebuah sukan peringkat kebangsaan. (Gambar Ihsan: Muhammad Rusydi Abdullah)

Namun, selepas dipujuk neneknya, Cik Normawathi, pemain boccia Sekolah Autisme Saint Andrews itu bukan saja setakat mengambil bahagian malah muncul juara bagi acara yang dianjurkan setiap empat tahun itu.

Sejak itu, jaguh boccia tersebut terus mempamerkan prestasi yang baik sehingga akhirnya dipilih Special Olympics Singapore untuk bertanding di temasya di Abu Dhabi bulan depan.

“Saya rasa gementar kerana ini kali pertama saya ke luar negara. (Namun) saya mahu membanggakan Singapura dan keluarga saya. Saya ingin dapat emas,” kata Rusydi yang akan bersaing dalam acara perseorangan dan juga acara regu bersama rakan sepasukannya.

Jurulatih berkongsi maklum balas tentang prestasi latihannya di padang Sekolah Menengah Bendemeer. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin/BERITAmediacorp)

Sejak bermain boccia pada usia sembilan tahun, Rusydi bukan saja berjaya meningkatkan kemahirannya, bahkan beliau juga sudah banyak berubah dari segi perwatakannya.

“Dari usia kecil berbanding dengan sekarang ini, ada banyak perbezaan. Dulu, di sekolah, susah sedikit untuk menjaganya – orang (luar) tidak faham (perilakunya). Sekarang, saya lihat banyak perubahan,” kongsi Cik Normawathi yang sudah menjaganya sejak bayi lagi.

Beliau turut bersyukur atas keprihatinan masyarakat terhadap golongan berkeperluan khas yang semakin meningkat.

“Dulu susah kerana kalau kita jaga dia (Rusydi), ada sesetengah anggota masyarakat yang melihat seolah-olah macam menghina. Kalau kita dapat anak sepertinya, yang aktif dan hyper, mereka tidak faham. Mereka memandang rendah anak-anak sepertinya. Tapi sekarang, saya lihat Alhamdulillah, sudah ada banyak perubahan dan banyak yang memberi bantuan dan memberi motivasi kepada mereka,” tambah beliau.

Sebahagian daripada anggota Kontinjen Team Singapore yang akan ke Abu Dhabi bulan depan. (Gambar: Wallace Woon/Special Olympic Singapore)

Satu acara penyampaian bendera diadakan di SAFRA Toa Payoh siang tadi (23 Feb) bagi Kontinjen Team Singapore yang akan bertanding di Sukan Olimpik Khas Dunia. Mulai 8 Mac ini pula, para atlit akan mula berangkat ke Abu Dhabi dengan acara perasmian bagi temasya sukan tersebut dijadual berlangsung pada 14 Mac. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan