Images
  • siti 1
    Siti Nurhaliza menjadi pemain bola lantai Melayu/Islam pertama dilamar untuk bermain dengan sebuah pasukan antarabangsa. (Gambar: snbka_08/Instagram)

Siti Nurhaliza terpilih bermain bola lantai di sebuah kelab elit Republik Czech

BERITAmediacorp: Namanya begitu terkenal. Jadi apabila mendengar bahawa Siti Nurhaliza akan bermain sukan bola lantai secara profesional di Eropah, mungkin ada yang akan rasa terpinga-pinga.

Diperkenalkan, ini dia Siti Nurhaliza dari Singapura. Atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Khairul Anuar, berusia 20 tahun.

Yang pasti, Siti juga cukup terkenal. Terkenal dalam persada sukan bola lantai tempatan kerana dianggap seorang ahli sukan bola lantai (floorball) negara yang handal.

Kini Siti Nurhaliza mencipta satu sejarah menarik bagi dunia sukan bola lantai Singapura apabila beliau mengukir nama selaku pemain bola lantai Melayu/Islam pertama dilamar untuk bermain dengan sebuah pasukan antarabangsa - di Eropah.


(Gambar-gambar: snbka_08/Instagram)

Pencapaian ini sekali gus menjadikan Siti, pemain Singapura keempat yang terpilih untuk bermain untuk pasukan Eropah.

Siti, yang juga merupakan pemain kebangsaan Singapura, berlepas ke Republik Czech pada Jumaat (6 Sep) untuk mula berlatih dengan pasukan bola lantai SC Tempish Vitkovice.

KEHANDALAN SITI NURHALIZA SEHINGGA DIGELAR 'SICK-TI'

Apa perasaan Siti selaku 'wakil Singapura' yang kini akan bermain dengan kelab bola lantai bagi liga tempatan Republik Czech?


"Saya berasa amat bangga dan juga gembira apabila dapat tahu telah dipilih untuk pergi ke Republik Czech," luah beliau kepada BERITAmediacorp.

Semestinya, kehandalan, tahap kelajuan dan ketangkasan Siti dalam sukan tersebut cukup menyerlah sehingga mendapat perhatian negara yang berada lebih 12,000 kilometer jauh dari Singapura.

Ini penilaian ketua jurulatih Siti, Cik Louise Khng tentang anak buahnya itu: "Kekuatan Siti adalah beliau mempunyai bakat dalam sukan ini dan pergerakan kayu bola lantai yang 'sick' atau hebat.

"Jika beliau dihadang beberapa pemain atau lawan, beliau boleh melepaskan dirinya kurang dari tiga saat seperti itu. Ini kerana pegerakan kayu bola lantai nya yang pantas dan kemahiran pengurusan bola yang membuatkannya begitu."

'DIRISIK' SEMASA BERAKSI DI NEGERI ORANG

Siti Nurhaliza mula bermain bola lantai semasa berada di Sekolah Menengah Bukit Merah. Beliau kemudian menyertai pasukan Politeknik Republik.

Di peringkat liga, Siti bermain untuk Kelab Bola Lantai Merahans dan tahun ini menyertai Kelab Bola Lantai NUS Titans. NUS Titans secara konsistem merupakan antara tiga kelab teratas dalam Divisyen 1 Liga Bola Lantai Singapura.

Sejak dua tahun lalu pula, lulusan Diploma Sains Sukan dan Senaman Politeknik Republic itu mula menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Semasa bermain dalam Kejohanan Terbuka Czech, bulan lalu (Ogos), kebolehan Siti begitu menonjol sehingga mendorong salah sebuah pasukan bola lantai di sana untuk memikatnya.

Kini setelah terpilih untuk bermain dengan pasukan bola lantai SC Tempish Vitkovice, Siti masih ada beberapa cabaran untuk didaki dalam tujuh bulan mendatang.


"Secara fizikal saya bersedia, tapi mungkin secara mental saya kurang sedia dan saya harap ia boleh diperbaiki lagi.

"Saya harap saya dapat menyesuaikan diri saya apabila di sana. Lagi-lagi dengan cuaca yang amat beza dari Singapura. Dan kedua adalah saya harap saya dapat mempunyai minda yang positif apabila di sana sebab permainan di sana, di Eropah dan di Singapura amat berbeza jadi saya harap saya dapat menjadi setara dengan mereka secepat mungkin," kata Siti Nurhaliza.

HARAP PULANG BAWA PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI

Antara lain, sebagai persiapan menjelang keberangkatan beliau ke kota Prague itu, Siti berlatih tiga kali seminggu bersama pasukan negara di Hab Tampines Kita.


"Pada saya disiplin adalah amat penting bagi seorang atlit. Jadi saya akan pastikan bahawa saya ada banyak rehat dan saya akan tidur sekurang-kurangnya lapan jam dan saya juga menjaga pemakanan saya, pastikan saya minum banyak air putih," kongsi beliau dengan rejim yang diamalkannya.

Walaupun akan bermain di Eropah, hati Siti masih tetap dengan pasukan bola lantau kebangsaan.

Beliau sudahpun merancang untuk kembali ke rantau ini bagi menguatkan pasukan Singapura di Sukan SEA Manila pada November nanti. Dengan harapan membantu Singapura menggenggam pingat emas.

Selepas itu, Siti akan menyertai pasukan negara untuk bertarung dalam Kejohanan Bola Lantai Dunia di Switzerland pada Disember nanti. Belia bertenaga itu berharap, berbekalkan pengalaman dan teknik tahap lebih tinggi yang ditimbanya di Republik Czech, ia akan banyak membantunya.

"Saya harap untuk kongsikan ilmu-ilmu saya dan harap ia amat berfaedah bagi rakan-rakan saya yang ada di Singapura," kata anak sulung 3 beradik itu.

Itu jugalah harapan yang diluahkan ketua jurulatihnya. Pertarungan di Eropah, kata Cik Khng, begitu intensif dan fizikal, dengan para pemainnya lebih besar tinggi.

"Jadi harapan saya adalah beliau akan dapat membawa kesemua pengalaman... meresapi dirinya dalam bidaya bola lantai di sana, membawanya pulang ke sini... dan meningkatkan pengalaman keseluruhan pasukannya," ujar Cik Khng.

Sukan bola lantai sudah bertapak di Singapura sejak 1994. Ia pertama kali dipertandingkan dalam Sukan SEA pada 2015.

Singapura merupakan tuan rumah temasya sukan tersebut dan menjulang piala emas acara bola lantai.

- BERITAmediacorp/aq

Top