Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Singapore Die Hard Fans ‘setia sampai mati’ walau pasukan negara tumpas

Meskipun pasukan Pilihan Singapura kecundang di tangan pasukan tuan rumah Selangor dalam perlawanan Piala Sultan Selangor semalam (25 Ogos), para penyokong berpuas hati dengan prestasi pasukan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapore Die Hard Fans ‘setia sampai mati’ walau pasukan negara tumpas

Sebahagian daripada rombongan Singapore Die Hard Fans. (Gambar ihsan: Yusri)

SHAH ALAM, SELANGOR: Meskipun pasukan Pilihan Singapura kecundang di tangan pasukan tuan rumah Selangor dalam perlawanan Piala Sultan Selangor semalam (25 Ogos), para penyokong berpuas hati dengan prestasi pasukan negara.

Pasukan Pilihan Selangor yang dikenali sebagai Red Giants dalam kalangan penyokongnya berjaya merampas semula piala tersebut selepas menundukkan 'musuh' tradisinya menerusi penentuan penalti dalam pertembungan edisi ke-17 itu yang berlangsung di Stadium Shah Alam semalam.

Pemenang terpaksa ditentukan melalui tendangan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada akhir tempoh perlawanan.

Pasukan Pilihan Selangor akhirnya menang 5-3 melalui tendangan penalti.

Lebih 1,000 penyokong fanatik Singapore Die Hard Fans menyaksikan dengan penuh debaran saat Mohd Irfan Najeed gagal menyempurnakan tendangan penalti ketiga negara lantas menghambat peluang juara bertahan itu untuk menjulang trofi buat tiga tahun berturut-turut.

Encik Azman Yusof antara mereka yang berpakaian menyerlah semalam dengan topi uniknya. (Gambar: Tengku Nazihah)

Namun begitu, rombongan yang berjam-jam menaiki bas dari Singapura semata-mata untuk menyaksikan acara setahun sekali itu tetap bersemangat memberi sokongan kepada para pemain tanah air.

“Kalah menang adalah adat pertandingan tetapi kita puas hati kerana walaupun mereka (para pemain) hanya kurang seminggu berlatih bersama, mereka tetap berjuang bersungguh-sungguh,” kata salah seorang peserta rombongan, Encik Razim.

Rombongan Singapore Die Hard Fans di Stadium Shah Alam. (Gambar: Tengku Nazihah) 

Encik Razim (memakai cermin mata dan topi merah) mengibarkan bendera FAS di Stadium Shah Alam. (Gambar: Tengku Nazihah)

SETIA SAMPAI MATI

Sememangnya, semangat yang ditonjolkan penduduk Jurong West itu merupakan sesuatu yang sebati dalam naluri setiap anggota Singapore Die Hard Fans.

“Mereka ‘setia sampai mati’. Kita tidak boleh ada pemikiran di mana apabila Singapura kalah, kita patah hati. Tidak boleh! Tidak ada! Para pemain berjuang untuk Singapura. Oleh itu, kita sebagai penyokong mesti mengingatkan diri supaya apabila kita turun padang, kita menganggap perjuangan kita sebagai perjuangan yang besar,” tegas Encik Akbar Hashim, ketua kumpulan yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu itu.

Encik Akbar Hashim. (Petikan skrin Facebook Live)

Antara yang setia bersama kumpulan tersebut sejak ia baru bermula ialah Encik Abdul Rahman Samsudin yang sudah mencecah 51 tahun.

“Walaupun Singapura tidak menang, semangat itu tetap ada. Tidak kira sama ada Singapura bermain dengan baik atau tidak, kita tetap harus sokong,” kata beliau yang ditemani isterinya.

Kedua-duanya bersama beberapa ‘orang lama’ turut berkongsi kenangan di stadium yang penuh bersejarah itu apabila ia baru-baru dibuka pada tahun 1990-an.

Encik Abdul Rahman Samsudin mengambil gambar di luar stadium. (Gambar ihsan: Yusri)

“Waktu itu, tahun 1994, di Stadium Shah Alam. Buat julung-julung kalinya Singapura bermain di peringkat akhir Piala Malaysia menentang Terengganu. Stadium Shah Alam pada ketika itu dipenuhi ramai penyokong Singapura. Kami bawa ‘Kallang Wave’ ke Shah Alam. Itu detik yang paling termaktub di hati,” cerita beliau.

GENERASI KE GENERASI

Sedang golongan veteran mengimbas kembali nostalgia Singapore Die Hard Fans malam semalam, generasi barunya pula memandang ke hadapan dengan penuh semangat.

Dalam kalangan mereka adalah sepasang adik-beradik, Mahathir Minhat, 24 tahun dan Muhd Ashiq Minhat, 21 tahun yang mengalu-alukan ‘semangat’ anak muda untuk menyokong pasukan bola sepak Singapura.

Minhat Sudin (kiri) bersama anak-anaknya, Mahathir Minhat (tengah) dan Muhd Ashiq Minhat (kanan). (Gambar: Said Mahadi)

“Jika kami tidak sokong pasukan negara, siapa lagi?” tanya si abang.

“Saya harapkan lebih banyak sokongan daripada masyarakat Singapura bagi pasukan bola sepak negara, terutamanya golongan muda yang ingin berkecimpung dalam sukan ini. Golongan muda harus lebih terdedah kepada budaya bola sepak. Bola sepak sebenarnya adalah sukan yang sangat terkemuka di negara kita,” tambah adiknya.

Selain itu, ada pula yang mengibaratkan kegiatan menonton bola sepak di stadium sebagai tradisi turun-temurun.

“Minat (menyokong pasukan bola sepak negara) ini telah dipupuk oleh bapa saya sendiri. Kini, saya pula membawa anak-anak saya. Anak saya yang pertama dibawa ke luar negara (untuk menyokong pasukan Singapura) semasa baru berusia tujuh bulan. Masa itu, Singapura bermain di Malaysia,” kongsi Encik Muhammad Faizal yang mengikuti Singapore Die Hard Fans sejak berusia lapan tahun lagi.

Encik Muhammad Faizal bersama anggota keluarganya. (Gambar: Tengku Nazihah)

Beliau menambah: “Alhamdulillah kumpulan Singapore Die Hard Fans semakin lama semakin berkembang. Kita bukan hanya berkongsi minat yang sama terhadap bola sepak tetapi kita juga mengadakan acara-acara lain seperti ‘barbeque’ untuk mengeratkan silaturahim. Itu yang membuat kita seperti keluarga besar.”

Turut tersentuh dengan semangat kekeluargaan dan kemesraan kumpulan yang tidak asing di Singapura itu ialah Encik Zainal Muhammad.

“Saya telah membuat ramai teman dari semua lapisan masyarakat, tidak kira dari apa darjat pun,” ujar beliau.

Encik Zainal Muhammad dan anggota 'keluarga' Singapore Die Hard Fans.

Menurut Encik Akbar Hashim, keakraban tersebut menjadikan kumpulannya unik dan dapat berkembang maju sehingga hari ini.

Walaupun kekalahan semalam bermakna pasukan Pilihan Selangor kini mendahului Pilihan Singapura selepas lapan kali berjaya memenangi piala berprestij itu, dengan sokongan padu para penyokong setia, pasukan negara tentu sekali akan berusaha lebih gigih untuk membawa pulang trofi tersebut pada tahun depan!

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan