Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Silat jadi acara Olimpik 2032?

Sukan silat sebagai acara pingat Olimpik 2032. Demikian sasasan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Silat Singapura, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican tentang prospek masa depan sukan itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sukan silat sebagai acara pingat Olimpik 2032.

Demikian sasasan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Silat Singapura, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican tentang prospek masa depan sukan itu.

Visi itu mendapat rangsangan apabila Singapura menjadi tuan rumah Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18, di Arena OCBC Hab Sukan Singapura, bermula esok (13 Dis).

Buat pertama kalinya silat dipertandingkan di Sukan Asia anjuran Indonesia baru-baru ini.

Seni mempertahan diri itu juga akan membuat penampilan sebagai sukan demonstrasi di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Justeru visi untuk melihat pencak silat dimasukkan ke dalam acara pingat Olimpik, bukan sesuatu yang tidak boleh dicapai.

"Ini dapat menaikkan taraf (silat) bukan saja di Singapura tetapi juga di merata dunia," kata Encik Sheik.

"(Sasaran) realistik kita ini sekarang adalah 2032. Dan 2020, kita cuba mengadakan sukan demonstrasi di Tokyo supaya mereka mengenali sebenarnya apa itu pencak silat."

Justeru, Kejohanan Pencak Silat Sedunia esok, satu wadah penting untuk menetapkan piawai silat setanding sukan-sukan utama yang lain.

Anggota panel sidang media Kejohanan Pencak Silat Sedunia. (Gambar: Persekutuan Silat Singapura)

Anggota panel sidang media Kejohanan Pencak Silat Sedunia. (Gambar: Persekutuan Silat Singapura)

CEO Sport Singapore Lim Teck Yin berkata: "Kejohanan ini kembali selepas 14 tahun dan ia adalah acara besar-besaran di mana sekitar 40 negara akan menyertainya. Dan saya rasa Singapura berbesar hati untuk menganjurkannya lagi pada masa hadapan sekiranya negara lain tidak membuat bidaan."

Kali terakhir Singapura menjadi tuan rumah, ia mencatat prestasi cemerlang dengan meraih empat pingat emas.

Sheik Alau'ddin berazam kuat untuk memecahkan rekod pada 2004 itu.

"Kali ini 2018, 14 tahun dengan anak-anak muda yang begitu ghairah dengan kemudahan yang kita ada, dengan bantuan dan peruntukan kita dapat daripada Sport Singapore, pasti matlamat kita harus pecahkan empat (emas)," tambah Sheik Alau'ddin.

Antara harapannya, srikandi negara, Nurul Suhaila Mohd Saiful yang memburu emas selepas tiga kali gagal memperolehinya.

"Saya amat harap bahawa keluarga dan kawan-kawan saya di Singapura dapat datang untuk menyokong saya dan pasukan saya," kongsi Nurul Suhaila.

Satu lagi pesilat negara, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin berkata: "Pasukan saya sudah berlatih dah lama untuk Sukan Asia sejak tahun lalu dan apabila Sukan Asia mempertandingkan silat, kita sudah lama bersedia. Jadi saya rasa kita akan bawa tenaga dan ketabahan yang sama ke kejohanan dunia ini."

Edisi ke-18 Kejohanan Pencak Silat Sedunia bermula esok hingga Ahad ini, di OCBC Arena.

Masuk adalah percuma.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan