Images
  • sevilla
    (Gambar: AFP)

Sevilla benam Inter Milan 3-2; kapten pasukan hadiahkan piala Liga Europa kepada 2 bekas pemain

COLOGNE: Kapten pasukan Sevilla, Jesus Navas menghadiahkan piala Liga Europa yang dimenangi pasukan dari Sepanyol itu kepada dua bekas pemain pasukan tersebut, Jose Antonio Reyes yang terbunuh dalam satu nahas jalan raya tahun lalu dan Antonio Puerta, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2007.

Dengan kemenangan yang diraih pada awal pagi ini (22 Ogos), ini bermakna pasukan dari Sepanyol itu sudah memenangi pertandingan tersebut sebanyak enam kali setelah menewaskan gergasi bola sepak Itali, Inter Milan 3-2.

Penyerang Sevilla, Navas dengan pantas memuji sumbangan Reyes dan Puerta kepada pasukan tersebut.

Reyes, yang mewakili tiga pasukan Sevilla yang menjuarai Liga Europa, terkorban pada Jun tahun lalu.

Puerta pula meninggal dunia pada usia 22 tahun selepas mengalami serangan jantung dalam perlawanan liga pada Ogos 2007.

"Untuk menjulang piala ini sebagai kapten Sevilla amat bermakna buat saya, untuk semua orang, buat rakan-rakan yang tiada lagi di sisi – buat Puerta, buat Reyes," kata Navas.

"Dan juga bagi pengasuh saya yang sudah meninggal dunia. Saya berharap para penyokong Sevilla berbangga dengan kejayaan kami. Kami berjaya menjulang trofi ini kerana anda juga adalah kapten pasukan Sevilla."

Navas juga turut memuji jurulatih Julen Lopetegui, dua tahun selepas dipecat daripada jawatan jurulatih Sepanyol sehari sebelum Piala Dunia 2018 bermula.

- AFP/NA/na

Top