Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sempena Sukan Asia, Jakarta 'tutup' sungai kotor dan busuk

Pelbagai langkah dilaksana bagi tingkatkan mutu sekitaran perkampungan Sukan Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Sempena Sukan Asia, Jakarta 'tutup' sungai kotor dan busuk

"Black River", Jakarta, Indonesia. (Gambar: AFP/Bay Ismoyo)

Diterbitkan : 21 Jul 2018 05:57PM Dikemas Kini : 21 Jul 2018 05:59PM

JAKARTA: Sebatang sungai yang kotor dan berbau busuk berhampiran perkampungan atlit Sukan Asia di Jakarta ditutup dengan jaring nilon hitam atas kebimbangan ia mencacatkan pemandangan temasya sukan itu.

Para pegawai di ibu kota Indonesia kini melakukan persiapan terakhir termasuk mempersiapkan tempat pertandingan dan memperluaskan jalan raya untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk sebelum acara itu yang berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

Pihak berkuasa juga memutuskan untuk menyembunyikan sungai Sentiong, sepanjang kira-kira 730 meter yang digelar "Sungai Hitam" oleh penduduk setempat kerana keadaannya yang kotor, menurut jurucakap sumber air Jakarta, Nelson Simanjuntak.

Pihak berkuasa Jakarta berharap jaring hitam yang digunakan akan mengurangkan bau busuk yang datang dari sungai berkenaan, yang sebahagiannya berpunca daripada panas terik matahari.

Pada masa yang sama, teknologi pengurusan sisa canggih "gelembung nano" digunakan untuk membantu memecahkan bahan organik dan bahan kimia.

Pelbagai bendera berwarna-warni juga dipasang, sementara para pekerja mengecat tembok penahan sungai menggunakan warna terang.

Laluan-laluan air yang tersumbat dengan sampah-sarap adalah penyumbang utama kepada masalah banjir di ibu kota ini semasa musim hujan.

Jakarta dan Palembang di Sumatera menjadi tuan rumah kepada 11,000 atlit dan 5,000 pegawai dari 45 buah negara sempena acara
sukan kedua terbesar selepas Olimpik itu. 

Sumber : AFP/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan