Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Selepas 15 tahun, Baihakki Khaizan umum bersara dari pasukan bola sepak negara

Pemain bola sepak Singapura Baihakki Khaizan, mengumumkan akan bersara dari pasukan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas 15 tahun, Baihakki Khaizan umum bersara dari pasukan bola sepak negara

Pemain bola sepak Singapura Baihakki Khaizan, kini bersara dari pasukan negara. (Gambar: Instagram/Baihakki Khaizan)

BERITAmediacorp: Pemain bola sepak Singapura Baihakki Khaizan, kini bersara dari pasukan negara.

Beliau mengumumkan demikian di laman media sosialnya, semalam (7 Mac).

Dalam catatannya, Baihakki mengimbau hari pertama beliau menyarungkan jersi negara.

"4 Ogos 2003 adalah hari pertama saya menyarungkan jersi negara dan saya tidak dapat menggambarkan betapa bangganya saya apabila menyertai perlawanan antarabangsa pertama menentang Hong Kong pada waktu itu," kata Baihakki, 35 tahun.

Beliau menganggotai pasukan negara sebagai pemain pertahanan tengah selama 15 tahun, dari 2003 hingga 2018 dan mencatat lebih 12,000 minit perlawanan.

Baihakki pernah bermain sebanyak 134 perlawanan antarabangsa dan menjaringkan lima gol.

Baihakki adalah antara pemain yang paling berpengalaman dalam pasukan negara. Beliau pernah merangkul Piala Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) sebanyak tiga kali, iaitu pada 2004, 2007 dan 2012.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang yakin dengan bakatnya, memberikan tunjuk ajar serta sokongan padu kepada beliau sepanjang kerjayanya itu.

Ini termasuk jurulatihnya - Radojko Avramovic dan Bernd Stange, bos dan kakitangan belakang tabir, penolong jurulatih, pengurus pasukan, keluarga dan para penyokong beliau.

"Terima kasih sekali lagi kepada semua. Saya berharap saya sudah memberikan terbaik sepanjang 12,240 minit perlawanan. Saya mohon maaf atas segala kesilapan saya kerana saya bukanlah manusia yang sempurna. Saya akan bersama-sama anda semua berada dalam kalangan penonton, (untuk) melakukan 'kallang roar' sebagai rakyat Singapura," katanya lagi.

Baihakki juga memberikan kata-kata semangat kepada rakan-rakan sepasukannya.

"Kepada semua pemain, selamat maju jaya kepada anda dan kerjaya masing-masing. Saya gembira setiap detik kita bersama. Kini saya akan meninggalkan pasukan dan semoga anda semua mengecap kejayaan.

"Ia merupakan satu penghormatan (bermain untuk), Singapura. Terima kasih!" tambah Baihakki.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan