Images
  • olympic
    Gambar: Eugene Hoshiko/AP Photo

Sejauh mana Sukan Olimpik Tokyo selamat bagi Kontinjen Team S'pore?

SINGAPURA: Langkah-langkah bagi menangani COVID-19 semasa berlangsung Sukan Olimpik boleh membantu menjaga keselamatan kontinjen-kontinjen termasuk para atlit Team Singapore, selagi ia dilaksanakan dan dipatuhi, tegas para pakar perubatan.

Dengan temasya sukan itu bakal berlangsung dalam masa sekitar 50 hari lagi, bahangnya sudah mula dirasakan dengan sebilangan negara melaksanakan program vaksinasi bagi kontinjen masing-masing.

Sekurang-kurangnya 15 atlit Singapura sudah berjaya melayakkan diri untuk bertanding di temasya sukan tersebut.

Minggu lalu, SportSG memberitahu Mediacorp bahawa vaksinasi bagi para atlit yang akan berangkat ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo menjadi "keutamaan segera".

Pakar penyakit berjangkit Dr Ling Li Min berkata kejayaan temasya sukan itu bergantung kepada beberapa faktor.

Ini termasuk mengurangkan interaksi antara mereka yang terlibat dalam sukan tersebut dengan orang awam serta antara para wakil pasukan.

"Bukan setakat melakar (peraturan dan garis panduan) dan memaklumkannya kepada mereka ... ini sememangnya harus dilakukan. Tetapi anda juga memerlukan penguat kuasa, pegawai dan para pegawai ini perlu mereka memastikan setiap peraturan dan garis panduan dipatuhi."

Antara langkah-langkah yang diumumkan oleh pihak penganjur sejauh ini termasuk rejim ujian harian untuk para atlit serta mewajibkan pemakaian pelitup "setiap masa", kecuali ketika berlatih, bersaing, makan, minum, tidur atau sewaktu diwawancara.

Walaupun keputusan sudah diambil untuk melarang penonton dari negara-negara asing, para penganjur akan membuat keputusan pada bulan ini sama ada penonton tempatan akan dibenarkan ke temasya sukan itu.

Sekiranya tiada penonton, ia akan membantu untuk mengurangkan risko, kata Dr Ling.

"Apabila ramai orang berkumpul, anda akan tahu dalam tempoh dua atau tiga minggu, mereka akan dibebani dengan jangkitan kelompok-kelompok besar. Kami sudah menyaksikannya di India, Korea, United Kingdom. Kami tidak mahu melihatnya di Jepun pula," tambahnya.

Menyusuli gelombang keempat jangkitan COVID-19, Jepun kini diletakkan di bawah perintah darurat ketiga yang diisytiharkan pada hujung April lalu.


Gelombang jangkitan itu memuncak pada pertengahan Mei dengan purata kes dalam seminggu hampir mencecah 6,500, iaitu satu paras rekod.

Namun, sejak itu, jumlah tersebut sudah mula berkurangan.

Di peringkat nasional, Jepun melaporkan kemerosotan hampir 20 peratus berbanding minggu sebelumnya buat dua minggu berturut-turut.

Dr Ling berkata, gelombang keempat selain rentak vaksinasi yang perlahan - kurang lima peratus penduduk Jepun sudah divaksin sepenuhnya - bermakna keadaan sekarang ini "tidak begitu ideal".

Meskipun kes-kes COVID-19 sudah berkurangan, masih belum diketahui jumlah sebenar pada hujung bulan ini.

"Ia sudah turun sedikit tetapi kami tidak tahu ke mana arahnya Jun ini. Masih terdapat banyak ketidakpastian," katanya.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam masa enam minggu akan datang."  

- CNA/SM/sm

Top