Images
  • hougang united
    (Gambar: Mediacorp)

Sehingga 250 penyokong boleh tonton Liga Perdana S'pura di stadium mulai hujung minggu ini

SINGAPURA: Mulai hujung minggu ini, sehingga 250 penyokong dibenar masuk ke stadium untuk menonton perlawanan Liga Perdana Singapura, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Rabu (7 Apr).

"Menyusuli perbincangan dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan, sehingga 250 peminat dibenarkan masuk ke stadium mulai 10 April," kata FAS.

Langkah itu bermula dengan perlawanan minggu keenam liga itu, yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini.

Untuk masuk ke mana-mana tempat perlawanan, para penyokong perlu menunjukkan bukti keputusan negatif ujian COVID-19 - sama ada ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) atau ujian pantas antigen (ART) atau disahkan sudah menerima dua dos penuh vaksin COVID-19, menurut FAS.

"Ujian PCR perlu diambil dalam masa 14 hari sebelum tarikh perlawanan manakala ART perlu diambil dalam masa 24 jam sebelum acara," tambahnya.

"Mereka yang sudah disuntik vaksin hanya dibenarkan masuk jika tarikh perlawanan itu jatuh sekurang-kurangnya 14 hari selepas dos kedua."

Penyokong yang menunjukkan bukti diperlukan boleh mendapatkan gelang tangan dari pondok-pondok khusus di setiap tempat perlawanan yang akan mula beroperasi dua jam sebelum perlawanan bermula.

Gelang tangan itu unik bagi perlawanan yang dikhususkan dan membolehkan penyokong untuk memasuki tempat itu 60 minit sebelum perlawanan bermula.

Peraturan "bersyarat" membolehkan 250 penyokong di setiap tempat perlawanan akan dilaksanakan bagi setiap hari perlawanan sehingga 23 April, menurut FAS.

Selepas itu, mulai 24 April, sehingga 250 penyokong dibenar masuk ke tempat-tempat perlawanan tanpa perlu menjalani ujian, menurut FAS. Ia selaras dengan garis panduan baru yang diumumkan pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 pada 24 Mac.

MASUK PERCUMA SEHINGGA 23 APRIL

"Kami melihat peminat SPL dengan penuh bersemangat memberi sokongan kepada kelab-kelab kegemaran mereka dari pelbagai tempat di luar tempat-tempat perlawanan sejak musim baru perlawanan bermula pada 13 Mac dan kami rasa adalah wajar untuk menyambut kehadiran mereka ke tempat-tempat perlawanan lebih awal sebelum 24 April," kata Setiausaha Agung FAS Yazeen Buhari.

"Saya bercakap bagi pihak kelab-kelab dan pemain SPL bahawa kehadiran penyokong akan menyuntik semangat kepada pengalaman menonton perlawanan. Kami maklum, ada yang mungkin pilih untuk mengambil ujian PCR atau ART supaya dapat masuk ke stadium, kami tidak mengenakan bayaran tiket perlawanan semasa tempoh iniu.

"Tentunya, penting bagi setiap peminat mematuhi dengan ketat semua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan diri mereka sendiri dan semua yang hadir."

Musim perlawanan SPL diadakan secara tertutup pada bulan lalu dengan hanya lapan pasukan bersaing.

Brunei DPMM, yang merupakan juara liga dua musim lalu, mengundurkan diri daripada edisi liga tahun ini kerana sekatan perjalanan COVID-19.

Musim perlawanan sebelum ini yang digantung pada pertengahan Mac kerana pandemik COVID-19 dan disambung semula pada pertengahan Oktober, juga menyaksikan DPMM mengundurkan diri akibat isu serupa.

Musim perlawanan dalam negeri akan berlangsung sehingga Oktober, dengan lebih 90 perlawanan dijadual berlangsung. Ini termasuk Piala Singapura 2021 yang dijadual bermula pada September.

Albirex muncul juara SPL empat bulan lalu, menjadikannya musim keenam berturut-turut di mana sebuah pasukan asing memenangi liga itu.

SPL kini masuk musim ketiga sejak namanya ditukar dari Liga S.

Juara bertahan Albirex kini mendahului senarai pasukan dengan 10 mata daripada 12 mata penuh manakala Hougang United di tangga kedua dengan satu mata di belakang.

- CNA/HA/ha

Top