Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sehingga 100 penonton saja boleh saksikan SPL; mesti sudah divaksin, negatif ujian ART

Sehingga 100 penonton dibenarkan di perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) mulai Jumaat (23 Jul), tertakluk kepada langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sehingga 100 penonton saja boleh saksikan SPL; mesti sudah divaksin, negatif ujian ART

Perlawanan Liga Perdana Singapura antara Geylang International dan Tampines Rovers. (Gambar fail: AIA Singapore Premier League/Facebook)

Diterbitkan : 22 Jul 2021 09:37PM Dikemas Kini : 22 Jul 2021 09:38PM

SINGAPURA: Sehingga 100 penonton dibenarkan di perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) mulai Jumaat (23 Jul), tertakluk kepada langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Jumlah itu kurang daripada had 250 yang ditetapkan sebelum ini, mengikut garis panduan Sport Singapore sedang Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Para peminat ke perlawanan SPL mesti mengemukakan bukti keputusan negatif ujian pantas antigen (ART) atau menunjukkan mereka sudahpun menerima kedua-dua dos vaksin sama ada BioNTech/Comirnaty atau Moderna.

Keputusan ujian mesti sah sehingga akhir acara perlawanan dan perlu diambil di klinik umum ART yang disahkan, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) hari ini.

Keputusan kit ujian sendiri tidak sah bagi kegunaan untuk kemasukan.

Mereka yang sudahpun divaksin hanya akan dibenarkan masuk jika tarikh perlawanan jatuh sekurang-kurangnya 14 hari selepas dos kedua mereka.

Individu berusia 12 tahun dan ke bawah tidak akan dibenarkan memasuki stadium untuk perlawanan SPL sehingga makluman lanjut, tambah FAS.

Para peminat yang layak perlu membeli tiket fizikal di tempat yang dikhususkan di setiap lokasi perlawanan yang akan mula beroperasi dua jam semula perlawanan. Satu gegelang tangan akan diberikan kepada setiap pemegang tiket di pintu masuk.

Penonton dengan tiket fizikal dan gegelang tangan akan dibenarkan masuk tempat perlawanan 60 minit sebelum perlawanan bermula.

FAS menyatakan para peminat yang memasuki stadium akan dikenakan langkah jarak selamat serta protokol keselamatan biasa termasuk pemeriksaan beg. Lantaran itu, peminat dinasihatkan agar tidak membawa barang yang dilarang.

Mereka juga digalakkan supaya tiba awal untuk mengelakkan kesesakan, menurut FAS.

Tiket-tiket dijual pada harga paling rendah iaitu S$8 bagi orang dewasa dan S$5 untuk konsesi.

"Bagaimanapun, kelab-kelab berhak mengubah harga dengan harga paling tinggi dihadkan kepada S$15 dan juga akan mengendalikan semua operasi tiket," menurut FAS.

Ia menambah para peminat dinasihatkan supaya memeriksa dengan kelab masing-masing bagi butiran tiket.

Perlawanan pada Jumaat bakal menyasikan Albirex Niigata (S) FC berentap dengan Lion City Sailors FC di Stadium Jurong East. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan