Images
  • sean tan wwe
    (Gambar: laman WWE/SPW Facebook)

Sean Tan ahli gusti pertama S'pura bakal 'banting' dalam WWE

SINGAPURA: Sean Tan menjadi ahli gusti pertama dari Singapura untuk menyertai WWE.

Pada Jumaat (2 Julai), syarikat hiburan sukan itu dengan rasminya mengumumkan bahawa lelaki berusia 25 tahun itu adalah antara kumpulan baru dari Asia yang menjalani latihan di Pusat Prestasi WWE di Orlando, Florida.

"Kepada mereka yang meyakini saya, terima kasih dan jangan berhenti menyokong mereka yang bercita-cita," tulis Tan dalam catatan Twitter pada Jumaat.

"Kepada mereka yang meragui impian saya, terima kasih dan ia belum lagi terlambat untuk menyokong saya," kata bekas Juara Asia Tenggara Singapore Pro Wrestling (SPW).

Pusat Prestasi WWE adalah lokasi untuk para rekrut baru WWE menjalani latihan. Melalui lamannya, ia menyatakan bahawa kemudahan itu "direka sedemikian rupa untuk melahirkan para atlit yang serba berkebolehan di depan skrin dan pada latar skrin, memberi peluang kepada para rekrut untuk menjalani latihan di bawah kepimpinan kumpulan jurulatih bertaraf dunia sedang mereka berusaha mencapai impian masing-masing menjadi Superstar WWE".

Pada Julai 2019, WWE mengadakan sesi uji bakat di Shanghai yang menyaksikan 40 atlit dari tanah besar China, Hong Kong, Jepun, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand mengambil bahagian.

Ini termasuk tiga ahli gusti dari Singapura iaitu Tan, yang beraksi dengan nama gelaran Trexxus, Alexis Lee yang dinobat ahli gusti wanita pertama Singapura dan pengasas bersama Pro Wrestling Singapore iaitu "The Statement" Andruew Tang.

Dalam video yang dimuat naik ke akaun Twitter WWE NXT pada 16 Julai 2019, Tan berkata bahawa matlamatnya adalah untuk mendapatkan kontrak sepenuh masa WWE.

"Setelah mendapat kontrak itu, impian saya mesti terus berubah; sentiasa berkembang," katanya sambil menambah bahawa langkah seterusnya adalah untuk membuat kemunculan dalam program NXT itu.

Tan memulakan kerjayanya sebagai seorang ahli gusti pada tahun yang sama SPW ditubuhkan pada Februari 2012.

Pertarungan terakhirnya bersama SPW dimuat naik ke akaun YouTubenya pada 25 Mei.

- CNA/HA/ha

Top