Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Schooling kurang tertekan setelah lalui 'pasang surut' prestasi jelang Sukan Olimpik Tokyo

Jaguh renang Joseph Schooling kurang rasa tekanan untuk bertanding di Sukan Olimpik Tokyo setelah mengharungi pasang surut prestasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jul 2021 07:22PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 10:03PM

SINGAPURA: Jaguh renang Joseph Schooling kurang rasa tekanan untuk bertanding di Sukan Olimpik Tokyo setelah mengharungi pasang surut prestasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pemenang pertama pingat emas Olimpik bagi Singapura itu akan berusaha mempertahankan gelarannya dalam acara gaya kupu-kupu 100 meter, yang dimenanginya setelah mencatat masa rekod dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Dalam wawancaranya dengan Mediacorp di Tokyo pada Selasa (20 Jul), Schooling berkata beliau tidak sabar untuk bertanding dan menyasarkan untuk menjadi "versi terbaik dirinya" semasa berenang.

"Matlamatnya adalah untuk menang, bukan? Jadi jika berjaya naik ke podium tentu sekali baik," kata beliau. "Saya tahu keupayaan saya sendiri, jadi sejujurnya saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan berat ke atas diri saya."

Sukan Olimpik Tokyo bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos setelah ditunda dari tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Tiada sasaran pingat ditetapkan bagi Team Singapore. Negara ini akan diwakili 23 atlit dalam 12 acara sukan – jumlah acara tertinggi yang pernah ditandingi Singapura di temasya Olimpik.

Seperti pada 2016, Schooling bakal berdepan persaingan yang amat sengit dalam acara gaya kupu-kupu 100 meter. Beliau menyebut wakil Amerika Syarikat Caeleb Dressel dan Kristof Milak dari Hungary sebagai pesaing yang "sukar untuk ditumpaskan".

"Ya, saya juara Olimpik di Rio. Namun banyak yang sudah berlaku sepanjang empat atau lima tahun lalu, dan banyak turun naik (prestasi), ada banyak pasang surutnya."

Masa terpantas Schooling dicatat di Piala Senior Antarabangsa ISCA pada Mac, iaitu 52.93s. Beliau berada di belakang pemegang rekod dunia, Dressel.

"Saya sebenarnya rasa kurang tekanan...Orang hanya akan lihat pada apa yang berlaku sepanjang setahun, dua tahun lalu," kongsi beliau dengan Mediacorp. "Anda hanya sebaik prestasi pertandingan terakhir anda."

Pun begitu, beliau akui berasa teruja bagi acara pertamanya di Tokyo - iaitu pusingan kelayakan 100 meter gaya bebas pada 27 Julai.

Jurulatih Sergio Lopez Miro berkata bahawa Schooling yang kini berusia 26 tahun, "lebih memahami diri sendiri" berbanding semasa zaman lebih mudanya. Jurulatih tersebut berkongsi yang beliau tidak sabar melihat anak didiknya beraksi di dalam kolam nanti.

Schooling berkata beliau amat menghargai ibu bapanya yang merupakan "penyokong nombor satu", dan berkongsi bahawa mereka masih berbual setiap hari walaupun semasa beliau berada di Tokyo.

"Saya tidak akan berada di sini tanpa mereka dan saya sudah berkata demikian berulang kali, dan ia masih suatu hakikat. Jadi saya tahu mereka pasti sedang menonton," katanya.

"Saya amat gembira diberi satu lagi peluang. Dan saya teruja untuk bertanding, sudah tiba masanya"


Sebagai rangkaian Sukan Olimpik, Mediacorp, akan membawa liputan meluas Sukan Olimpik Tokyo 2020. Lungsuri laman mediacorp.sg/tokyo2020 untuk butiran lanjut.   

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan