Images
  • mourinho
    Pengurus Manchester United, Jose Mourinho. (Gambar: Lindsey Parnaby/AFP) 

'Saya tidak suka prestasi pasukan saya': Mourinho hampa keputusan seri United

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho melemparkan kritikan keras terhadap sikap para pemain Manchester United selepas mereka sekadar seri 1-1 dengan Wolves di Old Trafford pada Ahad (23 Sep).

Malah, Encik Mourinho mendakwa bahawa beliau lebih berpuas hati dengan prestasi mereka sebelum ini iaitu ketika tewas 3-0 di tangan Tottenham berbanding aksi mereka semalam.

Encik Mourinho berkata: “Ia bukanlah prestasi yang baik, bukan keputusan yang bagus tetapi adil.

“Wolves berani menghadapi perlawanan ini dan saya rasa bahawa mereka patut memenanginya. Mereka bermain cara yang saya suka iaitu seperti dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

“Itulah sikap yang patut dimiliki oleh pasukan saya dalam setiap perlawanan. Kami tidak ada itu. Mereka (Wolves) ada. Sikap itu yang membezakan mereka,” kata beliau yang pasukannya meraih tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Pada mulanya, United kelihatan berjaya menyerap kejutan awal oleh pasukan Nuno Espirito Santo, terutama sekali apabila penjaga gawang David De Gea menghalang tandukan tepat oleh Willy Boly selepas menerima sepakan sudut daripada Joao Moutinho.

Beberapa saat selepas itu, United mendahului perlawanan apabila Fred menjaringkan gol pertamanya dari jarak 18 meter selepas Paul Pogba mengawal bola dengan baik setelah mengutip tandukan Conor Coady.

Namun, Wolves menyamakan kedudukan tujuh minit selepas separuh kedua bermula.

"Saya jangka pasukan saya bermain lebih baik daripada ini," kata Encik Mourinho. "Jika kami bermain menentang Wolves seperti Tottenham, saya rasa kami mungkin menang."

"Memang sedikit bercanggah tetapi saya lebih kecewa hari ini berbanding perlawanan dengan Tottenham. Dalam perlawanan itu, kami tewas tetapi saya suka dengan prestasi pasukan saya," tambah beliau lagi.  

- AFP/AI/ai

Top