Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

'Saya ingin capai sejauh mungkin': Tekad atlit lawan pedang negara Kiria Tikanah di Olimpik Tokyo

Atlit Olimpik Singapura bagi sukan lawan pedang, Kiria Tikanah Abdul Rahman mengisytiharkan bahawa dia kini berada dalam tahap fizikal terbaik bagi Olimpik Tokyo.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Atlit Olimpik Singapura bagi sukan lawan pedang, Kiria Tikanah Abdul Rahman mengisytiharkan bahawa dia kini berada dalam tahap fizikal terbaik bagi Olimpik Tokyo.

Impian Kiria Tikanah Abdul Rahman untuk menjadi atlit Olimpik, menjadi kenyataan selepas dia menjuarai acara epee dalam pertandingan kelayakan Olimpik Asia-Oceania di Tashkent hampir dua bulan lalu.

Belia 20 tahun itu akan membawa bendera Singapura dalam sukan lawan pedang bersama-sama seorang lagi jaguh tempatan, Amita Berthier.

BAGAIMANA TAHAP PERSEDIAAN KIRIA HADAPI PERSAINGAN SENGIT DI TOKYO?

Kiria berkata: "Saya rasa yang saya sekarang ini berada di tahap fizikal yang amat terbaik selama ini. Jadi saya rasa yang jikalau ia ditundakan lagi, saya tidak tahu jikalau saya akan mendapat tahap yang sama seperti sekarang."

Berlatih semasa tempoh pandemik COVID-19 memang dirintangi kesukaran.

Namun bagi mahasiswa Universiti Nasional Singapura itu, ia sebenarnya punya hikmah tersendiri kerana memberinya peluang memperbaiki prestasi secara lebih tertumpu.

"Situasi COVID ini telah memberikan banyak cabaran kerana sekarang kita hanya boleh berlatih dalam kumpulan yang kecil berbanding dengan sebelum COVID ini. Dengan kumpulan yang kecil ini kita tidak boleh berlatih dengan bersungguh-sungguh kerana tidak ramai orang. Jadi kini kita banyak memberi tumpuan kepada aspek yang mental, yang boleh memperbaiki saya," jelas Kiria.

KIRIA KEBANGGAAN SINGAPURA

Semestinya, segala pencapaian yang dikecapi Kiria untuk melangkah ke Sukan Olimpik layak dibanggakan.

Ini kerana dia mencapai 'mutu Olimpik' walaupun dilatih sepenuhnya di Singapura - bukan di luar negara.

Jurulatih Lawan Pedang Epee, Encik Henry Koh berkata: "Kali ini, Kiria menyertai pertandingan sebagai atlit lawan pedang dengan ranking terendah kerana ramai lawannya yang jauh lebih berpengalaman. Jadi saya tidak terlalu bimbang sama ada dia mampu memenangi pingat. Saya hanya mahu dia bertanding dengan penuh yakin dan buat yang terbaik."

Meskipun dibayangi persoalan sama ada Olimpik Tokyo masih akan berlangsung atau tidak, yang pasti seluruh Singapura berdiri di belakang Kiria dalam perjuangannya itu.

Kiria dijadual berangkat pada 18 Julai ini.

Ayah Kiria, Encik Abdul Rahman Ahmad menjelaskan: "Kalau saya cakap saya tak ada harapan itu saya bohong. Walaupun dia tidak dapat bawa pulang pingat tapi asalkan dia dapat menunjukkan persembahan terbaik dan dia dapat menimba pengalaman dan bawa pulang ke Singapura."

"Saya ingin membuat yang terbaik dan untuk pergi sejauh mungkin, memenangi beberapa perlawanan. Saya ingin mengharumkan nama Singapura dan juga mendapat lebih pengalaman dari Olimpik ini," ujar Kiria pula.

Selepas Sukan Olimpik Tokyo nanti, tumpuan Kiria beralih pula ke Sukan SEA Hanoi pada November ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan