Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Saudi lancar bidaan rasmi jadi tuan rumah Piala Asia 2027

Arab Saudi secara rasmi melancarkan bidaan sebagai tuan rumah Piala Asia 2027, dengan memperkenalkan logo bidaan dan slogan ‘Forward for Asia’ (Maju untuk Asia) tepat pada pukul 8.27 malam waktu tempatan pada Rabu (Khamis, 1.27 pagi waktu Singapura).

Anggaran Waktu Membaca:
Saudi lancar bidaan rasmi jadi tuan rumah Piala Asia 2027

(Gambar: LILLIAN SUWANRUMPHA/AFP)

Diterbitkan : 10 Sep 2020 09:36PM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 09:37PM

KUALA LUMPUR: Arab Saudi secara rasmi melancarkan bidaan sebagai tuan rumah Piala Asia 2027, dengan memperkenalkan logo bidaan dan slogan ‘Forward for Asia’ (Maju untuk Asia) tepat pada pukul 8.27 malam waktu tempatan pada Rabu (Khamis, 1.27 pagi waktu Singapura).

Sekiranya bidaan Arab Saudi berjaya, edisi tahun 2027 itu akan menyaksikan negara yang kaya dengan minyak itu buat pertama kalinya menjadi tuan rumah bagi kejohanan bola sepak kedua tertua di dunia. Ini walaupun ia sudahpun menjuarainya sebanyak tiga kali pada 1984, 1988 dan 1996, selain layak ke Piala Dunia FIFA sebanyak lima kali.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) Yasser Al-Mashal berkata visinya adalah lebih daripada sekadar pertandingan bola sepak, sebaliknya mahu berkongsi idea dengan seluruh keluarga bola sepak rantau Asia dalam masa beberapa bulan akan datang.

“Dalam usaha kami di Arab Saudi melakukan transformasi melalui Visi 2030, kami mahu menggunakan minat mendalam kami dalam bola sepak sebagai pemangkin pertumbuhan yang berterusan sukan berkenaan di seluruh Asia.

“Kami mahu mewujudkan satu usaha besar-besaran untuk seluruh Asia dengan fokus mencipta pengalaman, pertukaran dan peluasan baru,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Logo bidaan Arab Saudi 2027 memaparkan tiga elemen berpengaruh iaitu helang emas, bola sepak dan sepasang sayap.

Bagaimanapun, Arab Saudi akan berdepan dengan persaingan daripada empat lagi negara iaitu India, Iran, Qatar dan Uzbekistan, yang turut menyerahkan dokumen bidaan masing-masing untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu bulan lalu kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

India dan Uzbekistan membida sebagai tuan rumah untuk kali pertama, sementara dua lagi negara pernah menjadi tuan rumah Piala Asia dengan Iran menganjurkannya pada 1968 dan 1976 manakala juara bertahan Qatar, yang bergantung kepada kemudahan stadium serta infrastruktur Piala Dunia 2022, menjadi tuan rumah pada 1998 dan 2011.

China akan menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 yang menampilkan penyertaan 24 negara dan akan diadakan di 10 bandar merata negara itu.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan