Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Saktiandi: Kejayaan pesilat bukan sahaja banggakan masyarakat Melayu, malah juga negara

Kejayaan para pesilat Singapura memecah rekod pungutan pingat dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 tahun lalu, diraikan dalam satu majlis anjuran Jamiyah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kejayaan para pesilat Singapura memecah rekod pungutan pingat dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 tahun lalu, diraikan dalam satu majlis anjuran Jamiyah.

Kesemua mereka menerima plak peringatan khas masing-masing dari Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.

Ini demi menghargai para pendekar dan srikandi negara merangkul 20 pingat keseluruhannya dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia. Ia termasuklah tujuh pingat emas - sekali gus memecahkan rekod pencapaian pada 2004 di mana Singapura merangkul empat emas.

23 PESILAT NEGARA DIJULANG BAK PAHLAWAN DI MAJLIS "MERAIKAN KEJAYAAN"

Dalam ucapannya, Encik Saktiandi Supaat berkongsi rasa bangga beliau dengan pencapaian para pesilat negara itu kerana bukan sahaja membanggakan masyarakat Melayu/Islam di sini, malah juga membanggakan negara.

Beliau juga memuji sumbangan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Silat Singapura (PERSISI), Encik Sheik Allau'ddin, dalam membawa kejayaan para pesilat Singapura ke mata dunia.

Selain tujuh pingat emas, para pesilat Singapura juga menang enam perak dan tujuh gangsa. Pencapaian mereka itu menjangkaui sasaran enam pingat emas yang ditetapkan PERSISI.

Dalam majlis "Meraikan Kejayaan" anjuran Jamiyah semalam (2 Mac), sekitar 250 orang hadir untuk menyaksikan majlis penghargaan itu, termasuk wakil-wakil kedutaan beberapa negara di Singapura seperti Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu.

"Jamiyah sudah lama menyokong sukan silat di Singapura dan acara ini yang dianjurkan adalah salah satu acara-acara yang dapat menolong pesilat-pesilat kita lebih yakin untuk bekerja keras," kata pesilat Sheik Farhan Sheik Alau'ddin, yang juga bergelar juara dunia bagi silat sebanyak tiga kali (pingat emas).

PERSISI AKAN ADAKAN KELAS PENCAK SILAT BAGI KANAK-KANAK DARUL MA'WA

Bagi Jamiyah pula, ia sendiri pernah mendapat manfaat daripada PERSISI.

Menurut Presiden Jamiyah Singapura, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar: "Jamiyah dan PERSISI mempunyai hubungan yang erat sudah hampir 20 tahun dan mengadakan kelas pencak silat di rumah tumpangan kanak-kanak Darul Ma’wa.

"Kami juga sedang membincang dengan Encik Sheik Alau'ddin untuk memperkenalkan silat di rumah peralihan Darul Islah Jamiyah."

Encik Saktiandi dalam pada itu mengajak ibu bapa di luar sana supaya terus menggalakkan anak-anak mereka menceburi seni silat. Beliau juga menggesa badan-badan Melayu lain supaya juga terus menyokong perjuangan PERSISI menerusi sumber dan juga motivasi.

"Apa yang Jamiyah telah membuat hari ini memberi motivasi kepada keupayaan dan kejayaan pesilat-pesilat negara bukan untuk tahun ini sahaja tapi untuk tahun-tahun akan datang," ujar Encik Saktiandi.

Menurut beliau lagi, sukan seperti silat dan sepak takraw adalah khazanah orang Melayu, dan melibatkan diri dengannya sekali gus mengekalkan budaya Melayu itu sendiri.

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan