Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

S'pura tewas 5-0 kepada Uzbekistan dalam saringan Piala Dunia

Pasukan Singapura sekali lagi kecundang dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia pada Isnin (7 Jun) setelah tumpas kepada Uzbekistan di ibu kota Arab Saudi, Riyadh. 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura tewas 5-0 kepada Uzbekistan dalam saringan Piala Dunia

Yasir Hanapi beraksi menentang pasukan Uzbekistan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA 2022 Uzbekistan dan Piala Asia AFC 2023 di Riyadh pada 7 Jun 2021. (Gambar: FAS)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 10:09AM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 10:13AM

RIYADH: Pasukan Singapura sekali lagi kecundang dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia pada Isnin (7 Jun) setelah tumpas kepada Uzbekistan di ibu kota Arab Saudi, Riyadh.

Siri perlawanan kelayakan Singapura bagi Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar dan Piala Asia AFC 2023 di China, tertangguh akibat pandemik COVID-19 dan dimulakan semula minggu lalu dengan kekalahan 4-0 dengan Palestine.

Dengan keputusan terbaru ini, pasukan Singa gagal untuk ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia.

Dalam perlawanan kedua terakhir bagi Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Raja Fahd, Uzbekistan mendahului perlawanan dengan selesa setelah menjaringkan tiga gol dalam separuh masa pertama.

Dalam separuh kedua perlawanan pula, Uzbekistan melebarkan lagi jurang mata dengan menyumbat lagi dua gol.

Ketua jurulatih pasukan Singapura, Tatsuma Yoshida membuat lima perubahan pada kesebelasan pertama selepas menentang Palestine minggu lalu. Namun ini tetap tidak berhasil untuk menundukkan Uzbekistan yang menduduki tangga 73 lebih tinggi berbanding Singapura (159) dalam ranking FIFA.

Eldor Shomorudov menjaringkan gol ketiga Uzbekistan tepat pada detik terakhir separuh masa pertama, sementara hantaran berhasil Odil Akhmedov lima minit selepas waktu rehat menghadiahkan gol keempat buat pasukannya.

Pada minit ke-88 pula, hantaran gol sendiri oleh pemain Singapura, Irfan Fandi melebarkan lagi jurang gol.

Selepas perlawanan itu, Yoshida berkata semangat bersaing dan tahap taktikal pasukan Singapura "agak baik" dan "lebih baik daripada perlawanan sebelum ini".

"Mereka bermain dengan baik tapi gol pertama pasukan lawan membuat kita agak hampa ... Kita boleh belajar daripada Uzbekistan, mereka ada kualiti tapi mereka juga banyak berlari ... dan kita tidak terbiasa dengan kadar kekuatan seperti itu," kata Yoshida dalam kenyataannya di laman Persatuan Bola Sepak Singapura.

Keputusan itu meletakkan Singapura di tempat keempat dengan tujuh mata dalam Kumpulan D, sementara Palestine di tempat ketiga dengan kelebihan jaringan.

Pasukan Singa akan berdepan pula dengan Arab Saudi pada 11 Jun untuk perlawanan akhir dalam pusingan kelayakan.

Pasukan di tangga teratas dalam lapan kumpulan pusingan kedua dan empat kumpulan terbaik selepas mereka akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022. Ini sekaligus melayakkan mereka bagi Piala Asia 2023.

Perlawanan lain pada Isnin (7 Jun) juga menyaksikan tuan rumah Bahrain tewas 3-0 dengan Iran. Ini bermakna peluang semakin cerah buat Iran untuk mara ke pusingan ketiga.

Iraq terus mendahului Iran dalam Kumpulan C setelah menang 4-1 dengan Kemboja.

Dalam Kumpulan A pula, China kini di tangga kedua di belakang Syria setelah menang 2-0 dalam perlawanan menentang Filipina.

Vietnam kekal mengungguli carta bagi Kumpulan D setelah tumpaskan Indonesia 4-0 sementara Emiriah Arab Bersatu di tangga kedua setelah tundukkan Thailand dengan kemenangan 3-1.

Australia semakin hampir untuk ke pusingan ketiga setelah mengalahkan Taipei China 5-1 dan mendahului Kumpulan B dengan 5 mata di hadapan Jordan yang mengalahkan Nepal 3-0.  

Sumber : CNA/IZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan