Images
  • fas football 2
    (Gambar: FAS/Facebook)

S'pura kecundang 1-0 di tangan Selangor dalam Piala Sultan Selangor 2019

SINGAPURA: Pasukan pilihan Singapura tewas 1-0 kepada Selangor dalam Piala Sultan Selangor 2019 pada Sabtu (24 Ogos).

Meskipun menguasai permainan, pasukan pimpinan Nazri Nasir kecundang kepada jaringan Ifedayo Olusegun pada minit ke-19, yang sekaligus memberikan kemenangan kepada pasukan tuan rumah dalam edisi ke-18 perlawanan persahabatan itu yang disaksikan oleh 54,920 penonton di Stadium Shah Alam.

Sembilan daripada 20 pemain yang mewakili Singapura turun padang buat pertama kali menentang Selangor dan lima daripada mereka dibariskan dalam kesebelasan utama.

Walaupun Singapura menguasai permainan, kapten pasukan Shahdan Sulaiman, Amirul Adli, Hami Syahin dan Gabriel Quak gagal membolosi gawang pasukan tuan rumah.

Kemenangan Selangor ke atas pasukan pilihan Singapura pada Sabtu lalu juga merupakan kemenangan ke-10 Selangor dalam pertandingan tersebut.

Singapura bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong. Ini kerana pasukan veteran negara yang membariskan ramai bekas pemain negara seperti Fandi Ahmad, Malek Awab, Steven Tan, Indra Sahdan, Gusta Guzarisha dan Nazri Nasir berjaya menewaskan pasukan veteran Selangor yang diwakili oleh Soh Chin Aun dan Santokh Singh.

Pasukan veteran negara memenangi perlawanan tersebut melalui tendangan penalti selepas permainan terikat 0-0 di akhir perlawanan.

Penjaga gawang Yazid Yasin menjadi wira pasukan setelah berjaya menyelamatkan tendangan penalti Talib Sulaiman dan Azrin Shah Zainal.

Kali terakhir pasukan veteran Singapura menjuarai pertandingan ini adalah pada 2016. 

- BERITAmediacorp/FZ/fz

Top