Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

S'pura kalahkan M'sia 1-0; mara ke perlawanan akhir Piala Airmarine 2019

Jaringan pemain Singapura Muhammad Faris Ramli, yang juga merupakan bekas penyerang PKNS FC Malaysia, sudah cukup buat Singapura untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan sulung Piala Airmarine 2019, selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Malaysia pada Rabu malam (20 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura kalahkan M'sia 1-0; mara ke perlawanan akhir Piala Airmarine 2019

Pemain Singapura Faris Ramli (Gambar: FAS)

Diterbitkan : 21 Mar 2019 08:20AM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 08:27AM

KUALA LUMPUR: Jaringan pemain Singapura Muhammad Faris Ramli, yang juga merupakan bekas penyerang PKNS FC Malaysia, sudah cukup buat Singapura untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan sulung Piala Airmarine 2019, selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Malaysia pada Rabu malam (20 Mac).

Singapura akan berdepan Oman pada perlawanan akhir Sabtu ini, selepas skuad Al-Ahmar itu membenam pasukan di ranking ke-147 dunia, Afghanistan 5-0, pada aksi terdahulu.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, anak buah Mohamad Nazri Nasir menampilkan aksi cemerlang pada awal permainan untuk menafikan peluang pemain Malaysia yang beraksi di hadapan 3,341 penonton.

Singapura memiliki peluang terbaik untuk berada di hadapan pada minit ke-12, namun percubaan Muhammad Yasir Hanapi tepat ke penjaga gawang skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-52, kapten pasukan Malaysia Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak melakukan gerakan menarik melepasi benteng pertahanan Singapura, namun gagal menjaringkan gol ketika hanya berdepan dengan penjaga gawang pasukan lawan.

Beliau sekali lagi mensia-siakan peluang untuk memecahkan kebuntuan menjaringkan gol selepas gagal menyempurnakan hantaran cantik daripada Mohd Syazwan Zainon, 10 minit kemudian.

Singapura akhirnya berjaya memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-82 selepas Muhammad Faris berjaya melepasi perangkap ofsaid, sebelum tenang menjaringkan gol, dan kedudukan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Mohamad Nazri gembira dengan kemenangan itu dan memuji barisan pemainnya yang mempamerkan semangat juang tinggi sehingga ke wisel penama

“Saya beritahu kepada pemain saya bahawa perlawanan malam ini bukannya mudah, terutama Malaysia beraksi di laman sendiri. Saya juga beritahu kepada mereka, jika memiliki peluang menjaringkan gol, mereka perlu tenang menyempurnakan percubaan itu.

“Kita berusaha keras untuk memenangi perlawanan ini, dan menunggu sehingga peluang terbaik untuk melakukannya. Jaringan itu hasil daripada serangan balas yang menarik,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia Tan Cheng Hoe jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan beliau terhadap prestasi anak buahnya.

“Kita bermula dengan perlahan dan saya lihat pemain Singapura begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat. Pada separuh masa kedua, kita cuba bangkit melalui gerakan-gerakan menarik, namun malangnya akibat melakukan kesilapan, kita kalah,” katanya.

Malaysia akan menentang Afghanistan pada perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat di tempat yang sama, Sabtu ini.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan