Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

S'pura kalahkan Fiji 2-0, kemenangan pertama pasukan pimpinan Fandi

Fandi Ahmad berjaya mendapatkan kemenangan pertama sebagai jurulatih pasukan negara pada Selasa (11 Sep) selepas mengatasi pasukan Fiji 2-0. Gol perlawanan dijaringkan anaknya Ikhsan Fandi dan kapten pasukan Hariss Harun.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura kalahkan Fiji 2-0, kemenangan pertama pasukan pimpinan Fandi

Ikhsan Fandi menunjukkan kegembiraan selepas menjaringkan gol menentang pasukan Fiji (Gambar: Matthew Mohan/Mediacorp)

Diterbitkan : 11 Sep 2018 11:49PM Dikemas Kini : 11 Sep 2018 11:57PM

SINGAPURA: Fandi Ahmad berjaya mendapatkan kemenangan pertama sebagai jurulatih pasukan negara pada Selasa (11 Sep) selepas mengatasi pasukan Fiji 2-0. Gol perlawanan dijaringkan anaknya Ikhsan Fandi dan kapten pasukan Hariss Harun.

Perlawanan ini merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa kedua di Stadium Bishan, sebagai persiapan bagi Piala Suzuki Persatuan Bola Sepak ASEAN 2018 (AFF Suzuki) pada November.

Fandi mengotakan janji yang diumumkan sebelum perlawanan dan membuat tujuh gantian bagi pasukan yang pada Jumaat lalu seri satu sama dengan pasukan Mauritius.

Gabriel Quak kembali mewakili negara selepas lebih setahun, manakala Ho Wai Loon dan Jacob Mahler membuat kemunculan pertama mereka bagi negara dalam perlawanan antarabangsa.

Selepas lebih setahun, Gabriel Quak sarungkan jersi negara untuk menentang Fiji (Gambar: Mediacorp)

Selepas lebih setahun, Gabriel Quak sekali lagi meyarungkan jersi negara dalam perlawanan menentang Fiji (Gambar: Mediacorp)

Meskipun menduduki empat tangga lebih tinggi dari Singapura dalam ranking FIFA - iaitu tempat ke-165 - pasukan Fiji gagal menggentarkan pasukan Singa.

Walaupun membuka perlawanan dengan percubaan gol awal pada minit kedua, tendangan Roy Krishna dari pasukan Fiji berjaya diselamatkan penjaga gawang Hassan Sunny.

Hariss Harun berjaya menanduk tendangan sudut Zulfahmi Ariffin untuk menjaringkan gol pertama pasukan tuan rumah. Sejurus selepas itu Ikhsan menambah jurang gol dengan bantuan Grabiel Quak.

Meskipun semakin selesa dalam perlawanan, pasukan Fiji gagal membolosi benteng pertahanan Singapura yang dikawal ketat oleh Baihakki Khaizan dan Irfan Fandi.

Selepas perlawanan, Fandi menzahirkan rasa gembira di atas prestasi pasukannya, sambil berkata bahawa beliau berbesar hati melihat permainan pemain muda "meningkat dengan baik".

Jacob Mahler pertama kali wakili S'pura dalam perlawanan antarabangsa menentang Fiji (Gambar: Mediacorp)

Jacob Mahler membuat kemunculan pertama bagi negara dalam perlawanan antarabangsa (Gambar: Mediacorp)

"(Kemenangan) ini dapat membuat pemain muda lebih selesa. Kita mahu mereka yakin ... Mereka berjaya dapatkan kemenangan dan ini akan menyokong mereka," kata Fandi.

"Ada komitmen, ada kerja sama. Namun masih banyak yang boleh diperbaiki ... Kita perlu ketatkan permainan bahagian tengah padang. Ia akan memakan masa namun kita tidak ada banyak lagi perlawanan FIFA."

Meskipun demikian Fandi kekal rendah diri dan menasihatkan agar tidak menaruh harapan melangit bagi pasukan itu, terutamanya di Piala Suzuki.

"Bola sepak satu permainan yang aneh. Semalam anda boleh main dengan baik, tapi esok mungkin tidak begitu baik. Memang elok untuk kekal positif dan kami harapkan (para penyokong) akan menyokong kami.

"Kami akan lakukan yang terbaik, tapi tidak dapat menjanjikan apa-apa (terlalu tinggi). Namun kalau kami kecundang, kami akan berjuang hingga ke titisan akhir."

Kemenangan pada Selasa ini adalah yang kedua bagi pasukan Singa, setelah gagal mencatat sebarang kemenangan pada 2017. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan