Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

S'pura cipta sejarah raih pingat emas pertama bola lisut Sukan SEA

Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Sukan SEA, Singapura berjaya meraih pingat emas bagi ‘softball’ atau bola lisut.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura cipta sejarah raih pingat emas pertama bola lisut Sukan SEA

Gembira sehingga tidak terkata selepas S'pura raih emas pertama dalam sejarah Sukan SEA. (Gambar: Sport Singapore)

CLARK: Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Sukan SEA, Singapura berjaya meraih pingat emas bagi ‘softball’ atau bola lisut.

Pasukan negara mengejutkan tuan rumah Filipina dengan mencatat kemenangan 6-1 dalam perlawanan akhir di The Villages di bandar Clark pada Ahad (8 Dis).

(Gambar: Sport Singapore)

Pasukan bola lisut menyambut kemenangan yang kian lama dinanti-nantikan. (Gambar: Sport Singapore)

Sepanjang tempoh bola lisut dipertandingkan dalam temasya sukan serantau itu, pasukan Filipina dengan gelaran Blu Boys yang menduduki tangga ke-17 dalam ranking dunia sudah menggondol pingat emas dalam setiap edisi Sukan SEA termasuk kali terakhir pingat sukan itu menjadi rebutan di Singapura, empat tahun lalu.

Pasukan Singapura yang menduduki tangga ke-22 dalam ranking antarabangsa hanya mampu berpuas hati dengan pingat gangsa yang dikecapinya pada Sukan SEA 2011 dan 2015.

Namun, tuah akhirnya memihak kepada Singapura di bandar Clark ini, berkat kecekalan dan tekad pasukan negara yang kali ini membariskan ramai pemain muda yang secara purata berusia 22 tahun.

“Memenangi perlawanan akhir menentang juara bertahan Filipina membuat saya sangat gembira. Kami mencapai matlamat kami. Kami semua banyak berkorban masa dari sekolah, kerja dan masa berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai. Akhirnya, pengorbanan kami berbaloi,” kongsi Mohd Huzaifah Mohd Noorham, 18 tahun antara pemain paling muda dalam pasukan negara.

Huzaifah beraksi di padang The Villages di Clark, Filipina. (Gambar: Sport Singapore)

LAWAN HEBAT AKHIRNYA KECUNDANG

Kemenangan yang diraih siang tadi bagaimanapun tidak datang bergolek. Pasukan negara dimalukan 8-0 di pusingan saringan oleh Filipina.

Sungguhpun demikian, pasukan Singa berjaya menebus kekalahan lalu dengan menundukkan tuan rumah 4-3 di peringkat separuh akhir Jumaat lalu (6 Dis), sekali gus buat pertama kalinya menempah tempat di perlawanan akhir.

Seorang pemain bola lisut Singapura beraksi di Sukan SEA pada 8 Dis 2019 (Gambar: Sport Singapore)

Tazligar Oh bersedia menerima balingan 'pitcher' lawan. (Gambar: Sport Singapore)

Berdasarkan format sistem 'page', Filipina berpeluang untuk mempertahankan mahkota yang dijulang selama ini selepas membelasah Indonesia 9-0 semalam (7 Dis).

Kemenangan besar Filipina itu tidak sekali-kali melemahkan tekad Singapura untuk melenturkan Blu Boys.

Malah para pemain negara berjaya memperlihatkan prestasi yang sungguh hebat untuk mendahului perlawanan 3-0 semasa masuk ‘inning’ atau pusingan ketiga. Tambahan pula, mereka memperkukuhkan lagi kedudukan dengan meraih lagi dua mata di 'inning' keempat.

Bagaikan tidak puas hati dengan mata yang diperolehi, pasukan Singa terus melebarkan lagi jurang dengan tambahan satu mata lagi dalam ‘inning’ ketujuh. Filipina sebaliknya setakat membalas dengan hanya memperolehi satu mata sagu hati.

Perlawanan berakhir 6-1 dengan Singapura akhirnya berjaya menggenggam pingat emas yang sudah sekian lama dijadikan buruan.

“Saya betul-betul tidak menyangka kami akan mengalahkan Filipina dengan jurang yang agak besar. Saya rasa mungkin kami bangkit selepas dikejutkan susuli kekalahan di pusingan saringan 0-8. Selepas itu, kami membalas 4-3 di peringkat separuh akhir dalam perlawanan yang sangat sengit,” ujar Huzaifah, pemain ‘shortstop’ yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA.

Pasukan Singapura terdiri daripada pemain mapan dan yang baru membuat penampilan sulung di Sukan SEA. (Gambar: Sport Singapore)

PENDEDAHAN LUAR NEGARA MEMBANTU

Menyingkap pelibatan beliau dalam pasukan bola lisut Singapura selama ini, Muhd Farhan Harahap Amirudin, 30 tahun berkata kunci kejayaan mereka terletak kepada pendedahan di luar negara.

“Kami melalui pelbagai latihan dan pertandingan di luar negara untuk meningkatkan lagi prestasi, terutama dalam tempoh setahun lalu. Ini termasuk sesi latihan yang kerap dijalankan di padang sementara Farrer Park dan sesi gim di SportSG,” ujar Farhan yang sudah lebih 15 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan.

Farhan yang menyarung jersi nombor 5 bersorak untuk pasukan Singapura. (Gambar: Sport Singapore)

Menurutnya lagi, landskap bola lisut Singapura sudah banyak berubah dari segi pendekatan teknikal dan taktikal dek tunjuk ajar yang diraih daripada pengalaman berlatih di luar negara termasuk di Australia dan Jepun serta penyertaan dalam beberapa pertandingan sejak 2010 seperti Kejohanan Dunia 2012 dan 2014.

“Perubahan-perubahan tersebut meresap ke peringkat sekolah-sekolah dan kini membawa hasil sepertimana yang dilihat dalam corak permainan mereka yang menyarung jersi pasukan negara di Sukan SEA kali ini,” jelas beliau yang membuat kemunculan pertama di temasya tersebut pada 2011.

Oleh itu, beliau berharap sukan tersebut dapat terus berkembang dan dapat mengharumkan nama negara bukan saja di peringkat serantau bahkan persada antarabangsa.

Terus ikuti liputan meluas prestasi para atlit Singapura di Sukan SEA di empat saluran siaran langsung Toggle Mediacorp. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan