Images
  • world cup
    (Gambar: AFP)

S'pura anggotai "kumpulan kerja teknikal" bagi teroka bidaan Piala Dunia 2034

SINGAPURA: Lima negara termasuk Singapura bersetuju menubuhkan 'kumpulan kerja teknikal" yang meneroka penghasilan bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034. Demikian menurut kenyataan bersama oleh Mesyuarat Menteri ASEAN kelima hari ini (11 Okt).

"Berikutan kenyataan pengerusi bagi sidang puncak ASEAN ke-34 berhubung bidaan bersama ASEAN bagi Piala Dunia FIFA 2034 dan dalam semangat ASEAN sebagai Satu Masyarakat, kami bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja teknikal yang dipimpin oleh Thailand bersama empat negara ASEAN khususnya, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Vietnam sebagai anggota utama dan mengalu-alukan anggota lain untuk turut serta dalam kumpulan ini," menurut kenyataan ini.

Kenyataan itu dikeluarkan menyusuli Mesyuarat Menteri ASEAN kelima bagi Sukan yang diadakan di Manila antara 8 dengan 11 Oktober dan dihadiri pelbagai daripada 10 negara ASEAN.

Pada Jun, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha berkata di luar acara sidang puncak ASEAN bahawa pemimpinnya mengikrarkan sokongan "untuk membuka bidaan bersama' sebagai tuan rumah acara sukan itu pada 2034.

"Saya ingin menjemput masyarakat ASEAN untuk menyokong persatuan-persatuan bola sepak di negara mereka untuk memenuhi impian mereka," katanya di persidangan berita.

Asia menjadi tuan rumah bagi acara sukan antarabangsa setiap empat tahun itu hanya sekali, apabila Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah pada 2002.

Qatar merupakan negara Asia seterusnya sebagai tuan rumah Piala Dunia pada 2022.

- CNA/HA/ha

Top