Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

S'pura akhiri Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 dengan 7 emas, 6 perak & 7 gangsa; rekod terbaik dalam sejarah

Kejayaan ini memecahkan rekod terbaik yang dicatat pada 2004 semasa Singapura menjadi tuan rumah bagi kejohanan yang sama iaitu sebanyak empat emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akhiri Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 dengan 7 emas, 6 perak & 7 gangsa; rekod terbaik dalam sejarah

Sheik Ferdous Sheik Alauddin (tengah) mendapat pingat emas bagi Kelas I kategori tanding Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Pasukan silat negara secara keseluruhan berjaya merangkul tujuh emas, enam perak dan tujuh gangsa bagi Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18.

Kejayaan ini memecahkan rekod terbaik yang dicatat pada 2004 semasa Singapura menjadi tuan rumah bagi kejohanan yang sama iaitu sebanyak empat emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Pada hari terakhir kejohanan itu hari ini (16 Dis), empat pesilat negara ditabalkan sebagai juara dunia selepas berjaya meraih pingat emas bagi kelas masing-masing dalam kategori tanding.

KEJAYAAN PERTAMA MELALUI SHEIK FERDOUS

Kejayaan pasukan silat negara bermula dengan pesilat Sheik Ferdous Sheik Alauddin dalam Kelas I kategori tanding.

Ferdous mendominasi pusingan pertama, jauh meninggalkan pesaingnya dari Vietnam, Nguyen Van Tri.

Namun, kontroversi tercetus pada pusingan ketiga selepas Van Tri menarik diri daripada perlawanan kerana tidak setuju dengan beberapa keputusan yang dibuat wasit dan para juri.

Ini sekaligus membuat Ferdous dinobat juara dunia buat pertama kalinya.

Beliau berkata: "Saya rasa amat bangga untuk diri saya dan sama juga untuk pasukan saya kerana kami telah memperbaiki rekod yang tertinggi pada masa dulu dan sekarang kami dapat yang lebih baik."

CIPTA SEJARAH JUARA DUNIA SEBANYAK 3 KALI

Adiknya, Sheik Farhan Sheik Alauddin, mencipta sejarah kerana menjadi pesilat negara pertama yang berjaya menjadi juara dunia sebanyak tiga kali.

Farhan mengalahkan pesaingnya dari Vietnam, Pham Khac Truong dengan keputusan 5-0. Kemenangan itu lebih manis lagi kerana jatuh pada hari jadinya.

"Saya rasa gembira kerana semua yang menang juara dunia ini sudah lama berlatih dengan saya dan mereka sudah buktikan bahawa mereka juga adalah juara dunia," ujar Farhan.

SUHAILA TAMATKAN PENANTIAN SRIKANDI JUARA DUNIA

Bagi srikandi negara, Nurul Suhaila Mohd Saiful, beliau akhirnya berjaya merangkul gelaran juara dunia selepas mencuba nasib dalam tiga edisi lalu kejohanan tersebut.

Suhaila mengalahkan pesilat Thailand, Janejira Wankrue dengan keputusan 5-0.

Kemenangannya juga mengakhiri penantian 14 tahun bagi seorang srikandi negara menjadi juara dunia bagi kategori tanding.

Kali terakhir, pesilat wanita negara bergelar juara dunia adalah pada 2004 oleh Saiedah Said semasa Singapura menjadi tuan rumah.

Suhaila berkongsi: "Saya amat berterima kasih dengan sokongan yang saya dapat selama ini. Saya akan terus berlatih lagi. Bagi saya selepas mendapat pingat, anda bermula dari bawah sekali lagi dan saya akan menantikan Sukan SEA pada tahun depan."

MD HAZIM MOHD YUSLI JUARA DUNIA BERUSIA 16 TAHUN

Singapura turut memungut satu lagi pingat emas melalui pesilat muda Md Hazim Mohd Yusli.

Berusia 16 tahun, beliau juga mungkin pesilat paling muda yang digelar sebagai juara dunia.

Hazim mengalahkan pesilat Malaysia, Mohd Faizul Nasir, dengan keputusan 4-1.

Prestasinya dapat dilihat sejak pusingan separuh akhir lagi selepas memenangi perlawanan secara TKO apabila menentang pesilat Vietnam, Nguyen Dinh Tuan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan