Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

S$250,000 lesap dari Kelab Bola Sepak Hougang United; kakitangan diberkas

Liga Perdana Bola Sepak Singapura baru sahaja membuka tirainya pada Sabtu (23 Feb) di Stadium Jalan Besar tetapi salah satu kelabnya sudah mendapat tumpuan atas sebab lain. 

Anggaran Waktu Membaca:
S$250,000 lesap dari Kelab Bola Sepak Hougang United; kakitangan diberkas

Gambar fail Stadium Hougang. (Gambar: Hougang United FC/Facebook)

Diterbitkan : 24 Feb 2019 08:34PM Dikemas Kini : 24 Feb 2019 08:36PM

SINGAPURA: Liga Perdana Bola Sepak Singapura baru sahaja membuka tirainya pada Sabtu (23 Feb) di Stadium Jalan Besar tetapi salah satu kelabnya sudah mendapat tumpuan atas sebab lain. 

Kelab Bola Sepak Hougang United, salah satu daripada sembilan kelab liga bola sepak profesional, membuat laporan polis terhadap seorang kakitangan setelah S$250,000 lesap daripada dananya.

Seorang kakitangan pentadbiran dipercayai mengambil wang itu dari rumah kelab dan pejabatnya pada Disember tahun lalu. Suspek, seorang wanita, mengaku mengambil wang itu dan diberkas polis.

Apabila dihubungi Mediacorp, pengurus besar Hougang United Matthew Tay mengesahkan bahawa kelab tersebut sudah membuat aduan polis tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata: "FAS sedar akan perkara itu dan sudah mengajukan soalan siasatan kepada kelab tersebut.

"Satu laporan polis sudah dibuat dan polis juga sudah memberkas seorang kakitangan kelab tersebut berkaitan isu ini."

Mediacorp difahamkan bahawa dana yang lesap adalah dari operasi-operasi judi kelab, yang sebelum ini dilaporkan mempunyai lebihan sebanyak lebih S$2 juta setahun.

FAS juga meminta penjelasan daripada Hougang United tentang tadbir urus kewangannya berkaitan isu tersebut.

Enam daripada sembilan kelab liga buat masa ini mengendalikan mesin judi di rumah kelab mereka: Albirex Niigata, Balestier Khalsa, Geylang International, Home United, Hougang United dan Warriors FC.

Rumah-rumah kelab yang mempunyai operasi judi mendapat tumpuan pada April 2017 apabila tiga kelab bola sepak tempatan - Hougang United, Kelab Bola Sepak Tiong Bahru (TBFC) dan Woodlands Wellington - diserbu polis.

Serbuan dilakukan setelah Sport Singapore membuat laporan polis terhadap Kelab Bola Sepak Tiong Bahru kerana disyaki menyalahgunakan dana kelab. Seorang pegawai kanan kelab juga dikatakan cuba menghalang audit kelab-kelab bola sepak tempatan.

Pengerusi TBFC dan Hougang Bill Ng dan isterinya, Bonnie Wong, mantan Setiausaha Agung FAS Winston Lee dan mantan Presiden FAS Zainudin Nordin kemudian diberkas.

Butir-butir yang didedahkan daripada kes tersebut mengejutkan masyarakat bola sepak tempatan selepas TBFC didapati meraih S$37 juta daripada operasi rumah kelabnya sedang ia hanya membelanjakan S$169,000 bagi pasukan bola sepaknya.

Menyusuli tindakan keras Pemerintah terhadap kemudahan-kemudahan sedemikian, seperlima daripada 82 kelab yang mengendalikan mesin-mesin judi terjejas oleh peraturan-peraturan lebih ketat yang diumumkan pada Julai 2017.

Langkah-langkah baru termasuk: Mengurangkan kuota bagi mesin-mesin judi, menaikkan usia minimum bagi memasuki bilik mesin judi dari 18 kepada 21 tahun dan menghadkan waktu operasi kemudahan-kemudahan tersebut.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pada Nov 2017 bahawa tujuh kelab tidak memenuhi kriteria untuk mengendalikan mesin judi dan diberikan permit sementara selama enam bulan untuk menutup operasi judi mereka sebelum April tahun lalu.

Kelab Bola Sepak Gombak United, Kelab Bola Sepak Tanjong Pagar United, Kelab Sukan Xin Hua Singapura dan TBFC adalan antara kelab-kelab yang tidak memenuhi kriteria tersebut.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan