Images
  • ronaldo portugal wc
    Cristiano Ronaldo beraksi dalam perlawanan Portugal lawan Maghribi (Gambar: AFP)

Ronaldo sekali lagi wira Portugal; ‘tendang’ Maghribi keluar Piala Dunia

MOSCOW: Cristiano Ronaldo terus menyerlah dalam kempen Piala Dunia FIFA Rusia 2018, selepas menjaringkan gol kemenangan Portugal menentang Maghribi pada Rabu (20 Jun).

Gol tersebut dijaringkan pada minit ke-4 perlawanan, sekali gus menyingkirkan Maghribi daripada kejohanan.

Menurut laporan Astro Awani, Ronaldo mencuri tumpuan dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Luzhniki, selepas berjaya menjaringkan hatrik pada perlawanan pembukaan yang menyaksikan Portugal seri 3-3 dengan Sepanyol minggu lepas.

Skuad bimbingan Fernando Santos ini tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila kapten pasukan Portugal itu menanduk masuk hantaran silang Joao Moutinho pada minit ke-4.

Pada minit ke-40 Goncalo Guedes terlepas peluang keemasan untuk menggandakan jaringan Portugal apabila berdepan dengan penjaga gol Maghribi, Munir yang tangkas menyelamatkan percubaannya, menurut Astro Awani.

Maghribi mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan, antaranya tandukan Younes Belhanda pada minit ke-57 yang berjaya diselamatkan penjaga gol Portugal, Rui Patricio.

Portugal berjaya bertahan untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan B, selepas seri 3-3 sama dengan Sepanyol minggu lepas.

Astro Awani turut menambah, Maghribi yang kalah 0-1 kepada Iran dalam perlawanan pertama, sah tersingkir dari kejohanan dan akan melengkapkan kempen Rusia 2018 dengan perlawanan menentang Sepanyol pada 26 Jun, jam 2.00 pagi waktu Singapura.

Portugal pula akan menentang Iran dalam perlawanan terakhir pada hari dan waktu yang sama.

- Agensi berita/TQ/tq

Top