Images
  • cristiano ronaldo dan cristiano jr
    Cristiano Ronaldo dan Cristiano Jr. (Gambar: Getty Images)

Ronaldo sasar jadi jurulatih Man Utd selepas bersara

LONDON: Cristiano Ronaldo tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan meninggalkan dunia bola sepak meskipun kerjayanya cukup panjang dan penuh dengan kejayaan.

Sebaliknya, pemain berusia 36 tahun itu mempunyai rancangan menjadi jurulatih pula selepas menggantung but
dengan Manchester United yang dipercayai menjadi sasarannya.

The Sun melaporkan bintang bola sepak Portugal itu mahu kekal di Red Devils sehingga dia bersara kelak.

Menurut laporan itu lagi, Ronaldo berminat untuk melatih anaknya Cristiano Jr.

Ogos lalu, penyerang handalan Manchester United itu memeterai perjanjian bersama kelab tersebut dengan pilihan untuk melanjutkan kontraknya sehingga tiga tahun.

Ronaldo dan pengurus kelab Ole Gunnar Solskjaer yakin dia mampu beraksi di peringkat tinggi menjangkaui usia 40 tahun.

Ronaldo kemudian dikatakan cenderung untuk mengorak langkah ke bidang kejurulatihan di Manchester United.

Dengan itu, Ronaldo mungkin akan dapat melatih anaknya yang kini berusia 11 tahun dan sudah mula berlatih bersama kelab itu.

Cristiano Jr menempah tempat dalam skuad cilik Manchester United di kompleks latihannya di Littleton Road, Salford awal bulan ini.  

- Agensi berita/SM/sm

Top