Images
  • Cristiano Ronaldo
    Penyerang Juventus Cristiano Ronaldo. (Gambar: REUTERS/Massimo Pinca)

Ronaldo dinobat Pemain Terbaik Serie A Musim 2019-2020

REUTERS: Penyerang Juventus Cristiano Ronaldo ditabalkan sebagai Pemain Terbaik Serie A bagi musim 2019-2020 di majlis penyampaian anugerah Gran Gala del Calcio pada Jumaat (19 Mac).

Ronaldo menang, atas undian Persatuan Pemain Bola Sepak Itali, setelah beliau membantu Juventus menjuarai Serie A buat kali kesembilan pada musim lalu.

"Ia tahun yang aneh, tahun yang tiada siapa mahukan, tetapi secara peribadi dan di peringkat pasukan, ia sesuatu yang positif kerana kami memenangi kejohanan itu," Ronaldo memberitahu Sky Sport Italia.

"Pada permulaanny, sukar untuk bermain di sebuah padang yang kosong (tiada penonton), tetapi sasaran kami adalah untuk memenangi kejohanan itu dan kami berjaya melakukannya. Kami terlepas Liga Juara-Juara Eropah tetapi begitulah bola sepak."

Jaringan sensasi pemain Portugal itu adalah semasa menentang Sampdoria pada Disember 2019 dan jaringan hebat itu terpilih sebagai Gol Terbaik bagi musim tersebut.

"Ia adalah gol terbaik saya, saya sangat pasti," tambah Ronaldo. "Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya kerana tanpa mereka tidak mungkin saya dapat meraih anugerah ini.

"Terima kasih kepada para pemain yang mengundi saya, saya rasa bertuah. Saya rasa kepercayaan, daya tahan dan kesungguhan adalah rahsia untuk terus menikmati bola sepak.

"Saya rasa bermotivasi dan inilah sebabnya kerana jika tidak, tidak mungkin untuk saya dapat bermain di peringkat ini pada usia 35, 36, 37 atau 40 tahun."

Gian Piero Gasperini dari Atalanta pula dinobat sebagai Jurulatih Terbaik.

- Reuters/NK/nk

Top