Images
  • ronaldinho mask
    (Gambar: AFP/NORBERTO DUARTE)

Ronaldinho dibebaskan dari tahanan di Paraguay selepas 5 bulan

ASUNCION: Bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho dibebaskan pada Isnin (24 Ogos) oleh hakim Paraguay setelah lima bulan berada dalam tahanan berhubung pasport palsu.

Hakim Gustavo Amarilla juga membebaskan abang Ronaldinho, Roberto de Assis Moreira, yang juga ditahan selama sebulan di penjara dan empat bulan lagi di bawah tahanan rumah di sebuah hotel di ibu kota Paraguay, Asuncion, atas tuduhan yang sama.

"Dia tidak dikenakan sebarang sekatan kecuali membayar ganti rugi atas kerosakan pada masyarakat," kata hakim mengenai anggota pasukan pemenang Piala Dunia 2002 yang berusia 40 tahun itu.

Ronaldinho menerima syarat pembebasannya, termasuk bayaran ganti rugi sebanyak AS$90,000 (S$123,200). Abangnya, yang juga pengurus perniagaan Ronaldinho, perlu membayar AS$110,000 (S$150,600).

Para pendakwa berkata mereka tidak percaya Ronaldinho terbabit dalam rancangan menghasilkan pasport palsu Paraguay palsu itu tetapi percaya de Assis Moreira sedar bahawa pasport-pasport itu palsu.

"Mereka secara terang-terangan menggunakan dokumen awam dengan kandungan palsu," kata Marcelo Pecci, salah seorang pendakwa raya, yang mengatakan ia merupakan kesalahan "sangat serius".

Sebelum perbicaraan pada Isnin, pendakwa raya berkata bahawa Ronaldinho tidak menunjukkan sebarang "ciri peribadi atau tingkah laku jenayah yang ... akan menimbulkan risiko pada masyarakat".

"DIPERDAYA"

Pasangan adik-beradik itu tiba di Paraguay pada 4 Mac. Pada ketika itu, Ronaldinho, pemenang Ballon d'Or pada 2005, dijadualkan menyertai acara untuk menyokong kanak-kanak kurang bernasib baik.

Bagaimanapun dua hari kemudian, pasangan itu ditahan polis apabila penyiasat menyerbu hotel mereka setelah mendapati mereka mempunyai dokumen palsu.

Sebelum hakim mengumumkan keputusannya, pihak pembelaan mengeluarkan kenyataan yang menegaskan kedua-dua beradik itu tidak bersalah.

"Mereka menyerahkan dokumen Paraguay kepada pihak berkuasa imigresen atas keyakinan bahawa dokumen itu sahih," menurut kenyataan itu. "Orang-orang yang mereka percaya menipu mereka dengan kejam."

Siasatan itu kemudian diluaskan dan kes itu didapati mungkin melibatkan pengubahan wang haram dan kumpulan jenayah.

Seramai 18 orang ditangkap berkaitan dengan kes itu, kebanyakannya pegawai imigresen atau pegawai polis.

"Siasatan tidak menemui sebarang petunjuk bahawa mereka terlibat dalam pengubahan wang haram atau kumpulan jenayah," menurut kenyataan pihak pembela.

- AFP/TQ/tq

Top