Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Riyadh Hakim pelumba basikal S’pura pertama julang emas di kejohanan Asia

Buat julung-julung kalinya, seorang atlit Singapura membawa pulang pingat emas daripada Kejohanan Lumba Basikal Asia atau Asian Cycling Championships (ACC).

Anggaran Waktu Membaca:
Riyadh Hakim pelumba basikal S’pura pertama julang emas di kejohanan Asia

Jonathan Tan (kiri), Riyadh Hakim (tengah) dan Junaidi Hashim (kanan) menyambut kemenangan pertama atlit Singapura dalam Kejohanan Berbasikal Asia. (Gambar: Riyadh Hakim/Facebook)

JAKARTA: Buat julung-julung kalinya, seorang atlit Singapura membawa pulang pingat emas daripada Kejohanan Lumba Basikal Asia atau Asian Cycling Championships (ACC).

Pelumba basikal tanah air, Riyadh Hakim Lukman, mencipta sejarah selepas menjuarai Cross-Country Eliminator (XCE) di Kejohanan Lumba Basikal Urban Asia 2019.

Kemenangan ini yang paling besar buat Riyadh sejak mula berkecimpung dalam sukan lumba basikal empat tahun lalu. (Gambar: Riyadh Hakim/Facebook)

Atlit berusia 21 tahun itu berjaya menyingkirkan 12 pelumba lain dalam perlumbaan litar ‘urban’ sepanjang 610m di Jakarta, Indonesia pada Ahad (27 Okt). 

“Saya teruja dapat menjadi rakyat Singapura yang pertama untuk memenangi perlumbaan ACC,” kata Riyadh sambil menambah bahawa XCE merupakan satu acara yang baru diperkenalkan di kejohanan tersebut.

Memandangkan ia satu acara baru, Riyadh tidak berkesempatan untuk meninjau atau memantau prestasi lawannya terlebih dahulu. Tambahan pula, beberapa minit sebelum perlumbaan berakhir, hujan tiba-tiba turun membasahi litar dan keadaan yang mencabar ini benar-benat menguji kehebatan para peserta, lebih-lebih lagi dengan permukaan litar yang licin.

Pada pusingan saringan, cuaca baik tapi setibanya pusingan akhir, hujan turun menyebabkan pemurkaan litar 'urban' di Jakarta itu licin. (Gambar: Junaidi Hashim/Facebook)

“Syukur semuanya berjalan lancar dan saya sangat berterima kasih dapat peluang untuk menyertai acara ini. Saya berharap pencapaian saya dapat memberi inspirasi kepada atlit lain terutama sekali kepada mereka yang akan mewakili negara di Sukan SEA kelak,” kongsi anak sulung empat beradik itu.

DISIPLIN MENGIMBANGI MASA

Riyadh bagaimanapun tidak akan mewakili negara di temasya berkenaan yang bakal berlangsung di Filipina pada hujung bulan depan. Sebaliknya, beliau sedang mengatur langkah untuk menyertai acara Olimpik Rentas Desa (Cross-Country Olympics (XCO)) di ACC Februari depan.

Bekas penuntut Politeknik Singapura itu juga akur bahawa ia bukan satu perkara yang mudah untuk berbuat demikian. Beliau harus bijak mengimbangi masa antara latihan lumba basikal dengan Perkhidmatan Negara (NS).
“Mencari masa untuk berlatih sedang saya menjalani NS adalah antara cabaran yang mesti saya atasi. Saya perlu memastikan masa yang terluang pada hujung minggu dimanfaatkan dengan sepenuhnya,” luah Riyadh yang berpangkat sarjan dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Sebaik sahaja selesai menjalani latihan tentera, anak muda ini akan bergegas pula ke sesi latihan ‘intervals’ di mana beliau akan mengayuh basikal pada kelajuan tinggi sepanjang jarak yang ditetapkan.

Keesokan paginya pula, Riyadh akan berjemur di bawah terik mentari selama sekurang-kurangnya enam jam untuk meningkatkan daya ketahanannya bagi mempersiapkan diri menempuh litar XCO yang biasanya mengambil 1.5 jam untuk melintasi garis penamat.

Pada hari Ahad pula, atlit berdisiplin tinggi ini akan menajamkan kemahiran teknikal dengan merentasi kawasan ‘rimba’ Singapura sebelum pulang ke kem untuk berehat sebelum menjalani latihan NS pada minggu seterusnya. 

Riyadh Hakim bergambar dengan mentor beliau, Junaidi Hashim. (Gambar: Junaidi Hashim/Facebook) 

Pengurus pasukan Awano, Junaidi Hashim, yang juga merupakan seorang pembimbing kepada pelumba basikal harapan negara itu yakin bahawa pengalaman NS sebenarnya baik untuk anak didiknya itu.

“Ia membentuk Riyadh menjadi lebih matang. Apabila mereka ‘book out’, selalunya ramai akan menghabiskan masa dengan keluarga dan teman-teman pada hujung minggu tapi beliau menyedari betapa pentingnya untuk menguruskan masa dengan baik agar dapat bersama keluarga dan pada masa yang sama, menjalani latihan,” ujar Junaidi Hashim, jaguh lumba basikal tempatan yang pernah mewakli negara di Sukan SEA.

SELAIN LATIHAN, PERLU SOKONGAN PELBAGAI PIHAK

Sejak empat tahun lalu, sedang beliau giat mempersiapkan diri bagi perlumbaan-perlumbaan di dalam dan luar negara, jaguh Singapura itu turut aktif melatih generasi pelumba basikal seterusnya seperti Riyadh.

“Bila baru mula, Riyadh belum ada pengalaman berlumba. Namun, saya yakin beliau berpotensi melangkah jauh dalam sukan ini. Saya rasa beliau boleh bersaing di peringkat dunia. Sekarang ini, beliau baru berusia 21 tahun dan masih ada banyak lagi masa untuk meningkatkan prestasinya.

“Tapi, sememangnya, untuk mencapai tahap sedemikian, beliau perlukan sokongan yang secukupnya - bimbingan keluarga dan kawan-kawan mahupun sokongan dari segi kewangan,” tambah Junaidi.

Pelumba basikal berpengalaman itu turut menaruh harapan agar kemenangan anak didiknya di ACC akan menggalak badan-badan seperti Persekutuan Basikal Singapura (SCF) dan syarikat-syarikat korporat untuk tampil memberikan lebih banyak sokongan.

Pasukan tersebut disambut ahli keluarga setibanya di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Riyadh Hakim/Facebook)

Merujuk kepada acara minggu lalu, Junaidi mendedahkan bahawa Riyadh dan rakan sepasukan Jonathan Tan nyaris-nyaris terlepas peluang untuk menyertai perlumbaan tersebut disebabkan oleh kekurangan dana dan keizinan untuk menyertainya pada saat-saat akhir oleh unit NS Riyadh.

Walau bagaimanapun, semuanya berjalan lancar dan akhirnya pembiayaan dana dan keizinan untuk menyertakan kedua-dua atlit remaja itu membuahkan hasil yang sangat berbaloi.

Menulis di Facebooknya, Junaidi mengucapkan terima kasih kepada SCF dan unit NS Riyadh serta semua pihak yang terlibat.

“Ia (kejayaan ini) tidak akan tercapai tanpa sokongan anda. Saya sangat bangga dengan persembahan pasukan kami!” kata beliau sambil mengongsi harapan agar kedua-dua SCF dan SAF akan terus menyokong pembangunan Riyadh dan para pelumba basikal yang lain.

Yang pasti, Riyadh akan terus berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dalam sukan yang sangat dicintai di bawah bimbingan seorang mentor dan bekas pelumba basikal yang amat dikagumi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan