Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ride for Rainbows kembali 15 Mac depan; pendaftaran dibuka esok

Edisi ke-9 Ride for Rainbows akan kembali diadakan pada 15 Mac depan, dengan para penganjur menjanjikan acara lebih gah dan meriah.

Anggaran Waktu Membaca:
Ride for Rainbows kembali 15 Mac depan; pendaftaran dibuka esok

Gambar: Club Rainbow

Diterbitkan : 18 Nov 2019 11:53AM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 12:04PM

BERITAmediacorp: Edisi ke-9 Ride for Rainbows akan kembali diadakan pada 15 Mac depan, dengan para penganjur menjanjikan acara lebih gah dan meriah.

Acara berbasikal amal anjuran Club Rainbow itu bertujuan mengumpul dana untuk menampung kos program-program bagi menyokong lebih 1,000 penerima bantuannya yang terdiri daripada para pesakit kronik yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berusia bawah 20 tahun serta keluarga mereka.

Buat julung-julung kalinya, para pengayuh basikal boleh menjangkakan kegiatan dan persembahan menarik di karnival yang bakal berlangsung di Bendungan Marina.

Dalam pada itu, mereka juga berpeluang beramah mesra dengan para penerima bantuan dan keluarga mereka setelah selesai acara berbasikal.

Emel daripada Club Rainbow menjemput orang ramai membuat pendaftaran bagi Ride for Rainbows 2020.

Orang ramai dipelawa untuk mendaftarkan diri melalui laman rideforrainbows.org mulai esok (19 Nov). Mereka boleh menguji daya tahan dengan menyertai jarak lebih jauh ataupun mencuba laluan baru yang lebih dekat di sekitar Rangkaian Penyambung Taman (PCN). 

Untuk mengambil bahagian, para peserta bagi acara 70km harus mengumpul derma $700 manakala bakal pengayuh basikal sejauh 20km pula perlu menggalas $200 sebelum memulakan kayuhan.

PELUANG REBUT TRILOGI PINGAT KHAS

Selain karnival yang menanti mereka di garis penamat, para pengayuh juga boleh menjangkakan satu lagi inisiatif baru bagi mendorong mereka untuk terus mengambil bahagian pada tahun-tahun mendatang.

Bemula daripada edisi 2020 ini, para pengayuh basikal akan meraih siri pertama dalam trilogi pingat yang direka khas oleh Royce, salah seorang artis cilik di bawah Program Pembangunan Seni Club Rainbow.

Oleh itu, bagi mengumpul ketiga-tiga pingat unik itu, mereka digalak untuk terus menyertai Ride for Rainbows 2021 dan 2022.

Ride for Rainbows pertama kali dianjurkan pada 2012 dan menjadi acara tahunan anjuran Club Rainbow dalam usaha pertubuhan itu untuk mendampingi masyarakat menerusi kegiatan sukan, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kanak-kanak dan para remaja yang menghidap penyakit kronik.

Hampir S$500,000 berjaya dikumpulkan menyusuli edisi tahun lalu dengan lebih 400 peserta mengambil bahagian dalam acara berkenaan, termasuk Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin yang juga Penaung Club Rainbow.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan